Alhamdulillah, Ketegangan Thailand-Kemboja Dapat Diselesaikan Secara Aman – Mohamad Hasan
PUTRAJAYA, 29 Julai – Ketegangan yang tercetus antara Thailand dan Kemboja sejak beberapa hari lalu akhirnya menemui titik noktah apabila Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim berjaya menjadi orang tengah dalam memeterai persetujuan genjatan senjata antara kedua-dua negara.
Perkara itu dimaklumkan oleh Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan yang menyifatkan persetujuan tersebut sebagai satu kejayaan diplomatik besar buat Malaysia di pentas antarabangsa.

“Alhamdulillah, ketegangan ini akhirnya dapat diselesaikan secara aman melalui perbincangan tertutup yang dipengerusikan oleh YAB Perdana Menteri,” katanya yang juga Timbalan Presiden UMNO menerusi hantaran dalam laman Facebooknya.
Terdahulu, semalam berlangsung perbincangan di Kompleks Seri Perdana dan disertai oleh TYT Phumtham Wechayachai, Pemangku Perdana Menteri Thailand, serta TYT Hun Manet, Perdana Menteri Kemboja.
Persetujuan bersejarah itu sekali gus membuka lembaran baharu dalam hubungan dua hala Thailand-Kemboja dan memperlihatkan peranan aktif Malaysia dalam mempromosi keamanan dan kestabilan serantau.
Pada sidang media bersama selepas mesyuarat itu, Anwar berkata, kedua-dua negara bersetuju melaksanakan beberapa langkah susulan.
Ini termasuk mengadakan mesyuarat tidak rasmi antara komander wilayah satu dan dua bagi pihak Thailand dan wilayah empat serta lima bagi pihak Kemboja selain mesyuarat bersama atase pertahanan yang akan dipengerusikan ASEAN akan diadakan jika dipersetujui oleh kedua-dua pihak.
Anwar, pada minggu lalu mencadangkan satu perjanjian damai antara kedua-dua pihak susulan konflik sempadan yang tercetus baru-baru ini.
Ketegangan mula meningkat sejak insiden pada 28 Mei apabila pasukan tentera Kemboja dan Thailand bertempur di kawasan Preah Vihear.
Selama beberapa dekad, kedua-dua negara anggota ASEAN itu terbabit dalam pertikaian berpanjangan berkaitan sempadan sepanjang 817 kilometer yang masih belum dimuktamadkan.
Namun, situasi bertukar menjadi konflik berdarah di utara Kemboja minggu lalu.
Di sepanjang sempadan dalam wilayah Kemboja, krisis kemanusiaan semakin meruncing dengan lebih 80,000 penduduk terpaksa dipindahkan susulan pertempuran yang berlarutan hujung minggu lalu.
Menurut Kementerian Pertahanan Negara, lima anggota tentera dan lapan orang awam terkorban setakat ini. – UMNO Online