Merakyatkan Pentadbiran, WRUR Duyong Catat Rekod Lebih 10,000 Penyertaan
MELAKA, 28 Julai – Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Duyong mencatatkan rekod baharu dengan lebih 10,000 penduduk hadir menyertai 174 program sepanjang 14 hari penganjurannya.
Ketua Menterinya, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, kejayaan besar program ini menunjukkan pendekatan merakyatkan pentadbiran yang dibawa kerajaan negeri semakin diterima masyarakat.
“Saya cukup gembira dengan sambutan hebat yang diberikan orang-orang Duyong yang membanjiri Dewan Serbaguna Semabok Dalam sempena Program WRUR Peringkat DUN Duyong. Kejayaan WRUR tidak hanya dilihat pada projek mega atau angka peruntukan, tetapi pada senyuman rakyat yang merasakan mereka didengar, disantuni dan dibela,” katanya.
Beliau turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan tahniah kepada Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem selaku ADUN Duyong merangkap Timbalan Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital yang telah bekerja siang dan malam turun padang memastikan semua program dirancang mendapat sentuhan wakil rakyat.
Maklumnya, sepanjang penganjuran program, sebanyak 38 aduan berjaya diselesaikan daripada 79 aduan yang diterima dan dari segi kebajikan, sebanyak RM3.83 juta telah disalurkan melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat kepada 1,177 penerima bantuan bulanan sejak Januari hingga Julai 2025.
Di samping itu katanya, 650 kit bantuan telah diagihkan kepada pesakit terlantar, ibu tunggal, warga emas dan asnaf melalui Program Ziarah Kasih.
“Menyentuh mengenai infrastruktur dan penyelesaian masalah banjir, sebanyak RM163 juta diperuntukkan untuk Rancangan Tebatan Banjir Sungai Duyong, dijangka siap pada tahun 2027; RM3.5 juta bagi naik taraf persimpangan Jalan Duyong (Duyong Bestari & IKS Duyong); RM300 juta projek naik taraf Jalan Tun Hamzah (FT264) daripada 2 lorong kepada 4 lorong; dan RM475,000 pula untuk penyelenggaraan jalan kampung dan perparitan.
“Bagi memperkukuh fasiliti pendidikan, kesihatan dan sukan, RM8 juta telah diluluskan bagi pengambilan tanah untuk tapak Klinik Kesihatan Duyong. Lebih RM189 juta disalurkan untuk pembangunan dan naik taraf infrastruktur pendidikan, termasuk 2 pembinaan sekolah baharu iaitu SK Duyong 2 dan SMK Seri Duyong, selain RM5 juta pula diperuntukkan untuk menaik taraf Padang Hoki Stadium Hoki Bukit Serindit.”
Jelas Ab Rauf, dalam usaha memperkasa ekonomi tempatan, 34 penjaja menerima lesen baharu bagi penempatan yang lebih tersusun, sementara RM78,433 bantuan input pertanian dan RM331,210 peruntukan projek pembangunan pertanian turut disalurkan menerusi Kerajaan Persekutuan.
“Mengenai Kampung Digital Duyong, Kerajaan Negeri berbangga apabila 3,634 premis melibatkan 21 kampung telah menerima alamat digital sepenuhnya. Sukacita saya mengumumkan kepada semua penerima alamat kampung digital, kini diberikan subsidi sepenuhnya di mana merajaan komited menanggus kos keseluruhan RM1.6 juta bagi menjayakan inisiatif ini.
“Kejayaan WRUR tidak hanya dilihat pada projek mega atau angka peruntukan, tetapi pada senyuman rakyat yang merasakan mereka didengar, disantuni dan dibela. Lepas ini jumpa di WRUR Peringkat DUN Rembia!” – UMNO Online