UMNO Perlis Sahut Cabaran Ahmad Zahid, ‘Terus Berbakti’ Simbol Komitmen – Rozabil

PADANG BESAR, 28 Julai – UMNO Perlis menyahut cabaran Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, untuk merampas kembali kerusi-kerusi yang tewas dalam Pilihan Raya Umum (PRU) lalu, dengan tekad memperkuat gerak kerja menjelang PRU akan datang.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perlis, Datuk Rozabil Abdul Rahman berkata, UMNO negeri berkenaan telah melancarkan logo  bertemakan “Terus Berbakti” sebagai simbol komitmen parti untuk terus mendekati rakyat dan memperjuangkan kebajikan masyarakat di seluruh negeri.

“Kami menyahut cabaran Datuk Seri Zahid, dan insya-Allah akan bekerja sekuat mungkin demi memastikan kemenangan dalam PRU akan datang,” katanya kepada UMNO Online.

Terdahulu berlangsung majlis perasmian Pejabat UMNO Bahagian Arau yang disempurnakan Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Rozabil yang juga Ketua UMNO Bahagian Arau seterusnya menambah, tema “Terus Berbakti” bukan sekadar slogan, tetapi mencerminkan DNA sebenar UMNO yang tidak pernah berhenti memberi khidmat dan kebajikan kepada rakyat, tanpa mengira kaum, agama atau fahaman politik.

“Inilah yang telah Barisan Nasional  (BN) lakukan sejak sekian lama di Perlis dan Malaysia. Inilah yang akan kita teruskan tanpa henti,” ujarnya.

Mengulas keadaan semasa di negeri itu, beliau menyatakan bahawa rakyat kini semakin kecewa dengan pentadbiran kerajaan negeri di bawah Perikatan Nasional, yang menurutnya gagal menampilkan pembangunan nyata, sama ada dari segi infrastruktur mahupun pembangunan masyarakat.

“Selepas PRU15, pentadbiran diberikan kepada Perikatan Nasional. Tetapi maklum balas rakyat yang kami terima menunjukkan kekecewaan,” tambahnya.

Beliau seterusnya menambah, sokongan akar umbi semakin pulih, dan keyakinan rakyat terhadap UMNO semakin meningkat malah memperlihatkan satu petanda positif bahawa UMNO Perlis berada di landasan yang tepat. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79