UMNO/BN Wajib Rampas Parlimen Kuala Krau – Ahmad Zahid

KUALA KRAU, 28 Julai – UMNO/Barisan Nasional (BN) wajib bekerja keras untuk merampas semula kerusi Parlimen Kuala Krau yang kini berada di tangan Perikatan Nasional (PN), kata Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, pelbagai inisiatif dan juga program telah dilakukan oleh Kerajaan Negeri Pahang untuk mensejahterakan rakyat sepanjang memerintah.

“Kalau ada orang bercita-cita untuk ubah kepimpinan di Pahang ini kononnya mereka nak pemimpinnya dikembalikan kepada Melayu dan Islam… apabila ada tokoh parti itu kata mahu ambil alih kepimpinan Negeri pahang, dulu mereka ada 17 kerusi, kita (UMNO/BN) 18, Pakatan Harapan (PH) lapan… mereka sangat yakin untuk ambil alih Pahang.

“Ketika itu situasi berbeza. Ketika itu UMNO ada masalah. Insya-Allah di Pahang pada ketika ini tiada masalah. Kita dapati di bawah pentadbiran Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail (Tokwan) pendapatan negeri bertambah dan melebih RM1 bilion. Kita dapati pelbagai program untuk rakyat telah dilakukan.

“Di dalam UMNO, Tokwan terus memberikan kesinambungan bahawa seluruh bahagian di Pahang berada dalam paling mantap, stabil. Saya amat yakin rezeki tidak pernah salah alamat. Lakukanlah yang terbaik. Begitu juga untuk kita menang di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Jengka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan sempena Majlis Perasmian Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Kuala Krau, pada Ahad.

Ujarnya, dakwaan yang mengatakan Islam terancam di bawah Kerajaan Perpaduan adalah tidak benar sama sekali.

“Kalaulah dikatakan Kerajaan Perpaduan ini menyebabkan Islam terancam, saya ingin beritahu apa tanggungjawab saya. Antaranya adalah untuk perkasa dasar Tahfiz Negara. Terdapat 1199 maahad tahfiz berdaftar 1250 tak berdaftar. Huffaz yang telah menghafaz 30 juzuk al-Quran ini perlu dibela nasib mereka ada jadi ahli-ahli profesional.

“Insya-Allah saya akan terjemah perkara ini dalam bentuk pelaksanaan. Dalam skala kecil saya telah memulakan sendiri perkara ini. Terdapat sebuah Maahad Tahfiz Imtiyaz Ulul Albab yang saya bina di Masjid Tanah. Sekarang, sedang dibina Sekolah Menengah Imtiyaz Ulul Albab di Bagan Datuk sebab kita nak seimbangkan duniawi dan ukhrawi.

“Kita tidak retorik. Cukup-cukuplah orang Melayu-Islam, berikan kekayaan kepada mereka. Berapa lama mereka mentadbir di Kelantan? Lebih 35 tahun. Masalah air pun tidak boleh selesai. Jika tiada peruntukan Kerajaan Persekutuan, tidak akan ada pembangunan di Kelantan. Bila mereka minta (dengan Kerajaan Persekutuan) cukup manis… Seolah-olah tiada rasa bersalah. Apabila berkempen pilihan raya, mereka kutuk habis-habisan,” katanya lagi.

Menurutnya, UMNO melalui Majlis Kerja Tertinggi (MKT) telah mencadangkan agar Kajian Separuh Penggal (KSP) diadakan untuk menilai semula prestasi pentadbiran Kerajaan Perpaduan.

“Dalam keadaan ini rakyat sedang meminta, menuntut dan melihat balik manifesto yang telah kita hidangkan. UMNO melalui MKT telah mencadangkan KSP Kerajaan Madani diadakan. Kita kena buat sebab pentadbiran Kerajaan Perpaduan dah lebih dua tahun. Jumaat lalu saya telah bawa perkara ini ke Mesyuarat Kabinet dan ia telah diterima.

“Kita mesti melakukan muhasabah terhadap kelemahan-kelemahan yg berlaku. Tetapi rakyat juga mesti lihat apa perkara baik yang telah dilakukan kerajaan sebelum ini. Kita dapat lihat 170 inisiatif telah diberikan kepada rakyat. Tetapi berapa ramai yang rasa bahawa itu adalah ‘game changer’?

“Apabila KSP diadakan ertinya kita sanggup lakukan muhasabah. Kita sangat telus dalam perkara ini supaya prestasi pentadbiran dapat diperbaiki. Ini komitmen kita. Sebagai manusia mesti ada kesalahan tetapi paling penting untuk kita dominan semula. Rampas semula kerusi-kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang kita kalah. Kita mesti rapatkan barisan di kalangan kepimpinan dan akar umbi seluruh negara,” katanya lagi. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79