UMNO/BN Sabah Tenang Hadapi Spekulasi Politik, Fokus Terus Kepada Rakyat
KOTA KINABALU, 28 Julai – UMNO dan Barisan Nasional (BN) Sabah mengambil pendekatan tenang dan rasional berhubung spekulasi yang hangat diperkatakan kebelakangan ini melibatkan lanskap politik negeri.
Setiausaha UMNO Sabah, Datuk Jafry Ariffin berkata, parti menghormati hak setiap pihak untuk membuat keputusan demi kelangsungan parti masing-masing dan menyeru agar semua pihak tidak gelisah dengan perkembangan semasa.
“Kita dengar secara tenang dan rasional. Setiap parti bebas membuat keputusan demi kelangsungan parti masing-masing. Kita hormati hak itu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sukau, UMNO Sabah turut bersedia menghadapi sebarang kemungkinan, namun fokus utama parti tetap kekal iaitu berkhidmat kepada rakyat, membina keyakinan, dan mencipta nilai dalam kehidupan mereka.
“Kita juga berhak dan bersedia dengan segala kemungkinan. Tetapi fokus kita tetap sama iaitu berkhidmat kepada rakyat, membina keyakinan dan mencipta nilai dalam kehidupan mereka,” katanya.
Tambahnya lagi, ini bukan masa untuk panik, sebaliknya masa untuk bekerja dengan lebih bijak, matang dan beretika dalam mendepani cabaran politik yang mendatang.
“Kita tenang dan serahkan kepercayaan kepada kebijaksanaan Panglima Perang kita iaitu Datuk Seri Bung Moktar Radin untuk memimpin haluan dengan hikmah,” ujarnya.
Beliau menegaskan bahawa UMNO dan BN Sabah kekal utuh, berprinsip dan sentiasa menjunjung semangat perjuangan demi negara dan rakyat.
“Kita BN. Kita bina negara. Kita BN bah. Kita bukan biasa-biasa,” tegasnya lagi. – UMNO Online