UMNO Balik Pulau Tambah Keahlian, Rangka Strategi Baharu
BALIK PULAU, 28 Julai – Ketua UMNO Bahagian Balik Pulau, Datuk Shah Headan Ayoob Hussain Shah, menyatakan keyakinan bahawa UMNO kini kembali memperoleh momentum dan kepercayaan akar umbi, serta bersedia untuk merangka strategi baharu bagi menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
Bercakap kepada UMNO Online selepas Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian terbabit, beliau merakamkan penghargaan kepada semua perwakilan, termasuk kehadiran Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dan pimpinan yang lain yang disifatkan sebagai pembakar semangat kepada para ahli.
“Saya tengok momentum UMNO hari ini naik balik, keyakinan pun pulih. Ini perkembangan positif. Maka kita ambil peluang ini untuk perbanyakkan ahli UMNO khususnya,” katanya.
Terdahulu berlangsung majlis Perasmian Mesyuarat UMNO Bahagian Balik Pulau yang disempurnakan Dr Zambry di Dewan Sri Gemilang, MRSM Balik Pulau, dekat sini.
Shah Headan seterusnya memaklumkan bahawa UMNO Bahagian Balik Pulau kini mempunyai lebih 11,000 ahli, dan menyasarkan peningkatan kepada 20,000 orang, dengan menekankan pentingnya kesedaran politik dalam kalangan masyarakat.
“Sekurang-kurangnya, bila jadi ahli, dia juga jadi pengundi kita. Bila mereka faham politik, faham sistem Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN), barulah mereka tidak mudah dipergunakan,” tambahnya.
Beliau seterusnya menegaskan bahawa UMNO kekal sebagai “payung besar Melayu”, dan kekalahan lalu bukan berpunca daripada kelemahan parti, tetapi akibat serangan fitnah yang terancang.
Pada masa yang sama beliau turut memuji semangat ahli Wanita UMNO yang ditunjukkan dalam mesyuarat sebelum ini, dan menyifatkan pencapaian mesyuarat kali ini sebagai bukti kesediaan UMNO Balik Pulau untuk kembali memperkukuh kedudukan.
“Saya nampak masa depan cerah, insya-Allah. Kita akan rangka strategi terbaik dan dengan komitmen sebegini, saya yakin kita akan berjaya insya-Allah,” tambahnya.- UMNO Online