UMNO Ada Kekuatan Sendiri, Pihak Lawan Sekadar Main Persepsi – Shahanim
ALOR SETAR, 28 Julai – UMNO Kedah masih mempunyai kekuatan dan sokongan akar umbi yang jelas dan rakyat kini mampu menilai sendiri prestasi sebenar antara UMNO dan parti lain tanpa perlu dipengaruhi propaganda politik.
Ketua UMNO Sungai Petani, Datuk Shahanim Mohd Yusoff berkata, usaha berterusan UMNO melalui pelbagai pihak khususnya dengan kerjasama pemimpin pusat termasuk Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, membuktikan bahawa parti terus bekerja dan sentiasa memberi perkhidmatan di lapangan.
“Sekarang ini pihak lawan dah tak ada isu. Mereka cuba alihkan perhatian dengan menyerang pemimpin-pemimpin KEDA dan sebagainya dengan mencipta persepsi negatif, walaupun UMNO terus bekerja dengan sebaiknya,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada UMNO Online selepas majlis Perasmian Mesyuarat UMNO bahagian Sungai Petani yang disempurnakan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad.
Turut serta pimpinan serta perwakilan UMNO bahagian berkenaan.
Dalam pada itu Shahanim turut mencadangkan agar Presiden UMNO mempertimbangkan untuk memberikan peranan menteri penuh dan jawatan senator kepada wakil dari negeri-negeri utara seperti Kedah, Perlis dan Pulau Pinang, yang mempunyai 31 kerusi parlimen secara keseluruhan.
“Kami tak minta banyak. Cuma mohon satu jawatan menteri penuh dan seorang senator dari utara, supaya kami daripada gabungan ketiga negeri iaitu Pulau Pinang, Kedah dan Perlis ada wakil. Tidak kisahlah siapa pun yang difikirkan sesuai,” katanya lagi.
Mengulas prestasi kerajaan negeri sekarang, Shahanim melihat bahawa pemimpin kerajaan negeri Kedah hanya pandai bercakap tetapi gagal menunjukkan pencapaian nyata.
“Jangan kita terbiasa dengan budaya ‘takpa’. Takpa… bola sepak tak naik, takpa …pembangunan tak jadi. Janji-janji dibiarkan tanpa hasil. Rakyat Kedah kena cari pemimpin yang boleh kerja, bukan hanya pandai cakap,” tambahnya.
Beliau turut menegaskan bahawa rakyat, termasuk pengundi muda, kini mula sedar dan menilai secara matang, dan dalam dua tahun akan datang, peluang untuk UMNO kembali menerajui Kedah adalah cerah sekiranya terus bekerja di lapangan.
“Insya-Allah, rakyat Kedah akan buat keputusan bukan berdasarkan cakap semata-mata, tapi berdasarkan prestasi kerja,” katanya. – UMNO ONLINE