SST: Projek Kediaman Dan Awam Dapat Pengecualian

KUALA LUMPUR, 28 Julai – Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata kerajaan sedar pentingnya memastikan sektor pembinaan tidak terjejas akibat pelaksanaan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST).

Beliau yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO berkata melalui langkah ini, kerajaan telah mengambil langkah-langkah proaktif untuk memperinci dan memastikan pengecualian tertentu diberikan kepada kategori projek yang layak.

“Antaranya pengecualian ke atas perkhidmatan kerja pembinaan bagi bangunan kediaman dan kemudahan awam berkaitan rumah ibadah, tandas awam dan taman rekreasi.

“Aktiviti perniagaan kepada perniagaan (B2B) terpilih, tertakluk kepada pematuhan syarat-syarat tertentu dimana kontraktor utama dikenakan tetapi tidak kepada sub kontraktor

“Bahan-bahan binaan asas seperti simen, agregat (kerikil) dan pasir yang kini kekal berkadar sifar (zero-rated) di bawah cukai jualan, sebagai langkah menyokong keperluan industri pembinaan,” katanya.

Ahmad berkata demikian pada pertanyaan lisan ketika menjawab soalan oleh Ir Yusof Abdul Wahab (Tanjong Manis-GPS) mengenai kategori projek pembinaan yang dikecualikan daripada dikenakan cukai SST di Dewan Rakyat, hari ini.

Sementara itu kata beliau, kerajaan komitmen untuk melaksanakannya secara adil dan berkesan serta untuk memastikan transisi yang lancar kepada semua pihak.

Menurut beliau, syarikat dan kontraktor yang menjalankan kontrak tanpa peluang untuk dikaji semula akan diberikan pengecualian daripada pembayaran cukai perkhidmatan selama setahun dari tarikh kuat kuasa, tertakluk kepada syarat-syarat yang ditetapkan.

“Galakan ini adalah sebahagian daripada langkah kerajaan dalam memastikan industri pembinaan mempunyai masa yang mencukupi untuk menyesuaikan sistem, memperkemas proses pendaftaran dan mendapatkan penjelasan tepat mengenai pelaksanaan SST.

“Kerajaan turut komited untuk tidak mengambil tindakan pendakwaan atau penalti sehingga 31 Disember 2025, bagi memberi ruang dan peluang kepada semua pihak untuk bersedia secara holistik,” ujar beliau. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79