Sabah Perlu Kepimpinan Berprinsip, Bukan Berselindung Di Sebalik Konsensus Palsu
KOTA KINABALU, 28 Julai – Sabah berhak kepada kepimpinan yang berprinsip, jujur, dan berani berpakat secara telus iaitu bukan yang gemar berpaling tadah dan berselindung di sebalik topeng konsensus palsu.
Demikian tegas Bendahari Pergerakan Pemuda UMNO, Mohd Kurniawan Naim Moktar dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurutnya, rakyat tidak lagi boleh berdiam diri apabila keputusan-keputusan besar dibuat tanpa sebarang rundingan terbuka bersama rakan komponen.
Malah katanya, budaya membuat keputusan secara unilateral dan membelakangkan semangat setiakawan jelas mencerminkan krisis kepercayaan dalam kalangan kepimpinan politik tertentu di Sabah.
Beliau berkata demikian susulan pengumuman mengejut Datuk Seri Hajiji Noor dalam Perhimpunan Agung PGRS baru-baru ini bahawa Gabungan Rakyat Sabah (GRS) akan bergabung dengan Pakatan Harapan (PH).
“UMNO bukan sahaja menjadi mangsa penghinaan politik ini, malah kini parti-parti komponen dalam GRS sendiri turut diperdaya. Rakyat harus menilai, jika rakan politik pun sanggup dikhianati, apakah nasib rakyat di tangan seorang pemimpin seperti ini?
“Kredibiliti seorang pemimpin bukan diukur pada jumlah ucapan manis atau janji bulan bintang, tetapi pada kejujuran dan ketelusan dalam setiap tindakan.
“Stabiliti politik tidak boleh dibina atas dasar tipu helah dan keputusan senyap di balik tabir. Kita tidak perlukan pemimpin yang bermain wayang di hadapan, tetapi menikam dari belakang. Kita perlukan keberanian untuk bercakap benar, untuk berunding secara terbuka, dan untuk membina keyakinan dalam kalangan rakan seperjuangan.”
Katanya, budaya politik yang melemahkan kepercayaan antara komponen, yang membelakangkan semangat setiakawan, dan yang memperalatkan kuasa demi survival peribadi adalah punca sebenar kepada ketidaktentuan politik yang melanda negeri ini.
“Sudah tiba masanya rakyat menilai dan menolak budaya politik seperti ini,” tegasnya lagi. – UMNO Online