Mohd Jafni Tegas, Batal Lesen Perniagaan Pusat Cuci Kereta Abaikan Rakyat Tempatan

JOHOR BAHRU, 28 Julai – Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Pembangunan dan Kesejahteraan Bandar Negeri Johor, Datuk Mohd Jafni Md Shukor menggesa pihak berkuasa tempatan (PBT) agar membatalkan lesen perniagaan pusat cuci kereta yang hanya memberikan perkhidmatan kepada pelanggan warga asing, khususnya dari Singapura.

Beliau berkata, pihaknya memandang serius isu tular di media sosial yang mendakwa sebuah pusat cuci kereta di negeri ini hanya menerima kenderaan dari Singapura sahaja sebagai pelanggan, dan mengabaikan rakyat tempatan.

“Kalau orang yang berniaga di Johor tetapi tidak memberi keutamaan kepada bangsa Johor, dengan hanya fikirkan keuntungan besar sahaja, mereka tidak layak untuk terus beroperasi di negeri ini,” katanya.

Menurut beliau, PBT akan diarahkan untuk menyiasat isu berkenaan dan mengambil tindakan tegas sekiranya perkara tersebut masih berlaku.

Terdahulu Mohd Jafni telah menyempurnakan Majlis Penutupan Johor Property Expo 2025 (JPEX 2025) yang berlangsung selama tiga hari di Padang Akasia, Angsana Johor Bahru Mall, semalam.

Ujarnya, JPEX 2025 menghimpunkan pemaju, pembeli dan agensi berkaitan yang telah mencatat sejarah sebagai penganjuran paling berjaya setakat ini, dengan kehadiran lebih 150,000 pengunjung dan jumlah potensi transaksi jualan mencecah lebih RM900 juta.
“Ini bukan sekadar angka, tetapi lambang kepercayaan rakyat terhadap dasar dan pelaksanaan yang jujur, telus dan berpaksikan keperluan sebenar mereka.

“Bermula dengan pelancaran 14 iklan projek Rumah Mampu Milik Johor (RMMJ), penyerahan surat tawaran Rumah Prihatin Johor (RPJ), Majlis Pelancaran Rasmi oleh Datuk Onn Hafiz Ghazi selaku Menteri Besar Johor, hinggalah ke sesi undian terbuka dan majlis realisasi kerjasama strategik bersama Yayasan Sultan Ibrahim Johor, JPEX telah membawa agenda perumahan negeri ke dimensi yang lebih inklusif.”

Maklumnya, lebih 3,500 permohonan RMMJ, 254 permohonan Rumah Prihatin Johor dan 2,403 pendaftaran akaun e-Rumah telah direkodkan sepanjang expo ini.

“Ini bukti bahawa rakyat sedang menyahut panggilan untuk membina masa depan dengan memiliki aset kediaman sendiri, hasil daripada inisiatif dan pendekatan kerajaan yang tepat.”

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Perbadanan Kemajuan Perumahan Negeri Johor (PKPJ) yang diterajui Datin Paduka Dr. Suhailizan serta semua agensi dan rakan sinergi yang telah bekerjasama menjayakan ekspo tersebut.

Katanya, kejayaan JPEX 2025 membuktikan agenda kerajaan negeri untuk membina 100,000 unit Rumah Mampu Milik Johor menjelang 2030 bukan sekadar impian, tetapi sedang digerakkan melalui strategi tersusun, penyelarasan tanah yang komprehensif, dan sistem pemilihan yang lebih telus dan adil.

Beliau turut memberi jaminan bahawa usaha untuk memperluas skim seperti perumahan transit, sewa sambil menyimpan, subsidi pendaftaran hak milik, serta pendigitalan sistem perumahan melalui platform e-Rumah Johor akan terus dipertingkatkan demi kesejahteraan rakyat.

“Kita tutup tirai JPEX 2025 hari ini, tetapi kita buka lembaran baharu perjuangan perumahan rakyat yang lebih menyeluruh, lebih inklusif dan lebih bersifat masa depan,” katanya lagi. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79