Letupan Putra Heights Akibat Kegagalan Sambungan Kimpalan – Abdul Rahman
KUALA LUMPUR, 28 Julai – Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad memaklumkan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) berperanan sebagai salah satu agensi yang dipertanggungjawabkan untuk menjalankan siasatan teknikal bagi tujuan mengenal pasti punca kebocoran dan kebakaran talian paip gas di Putra Heights, Subang Jaya.
Beliau yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO berkata skop siasatan JKKP, KESUMA menjurus kepada peruntukan di bawah Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 (Akta 514) dan Akta Petroleum (Langkah-Langkah Keselamatan) 1984.
“Proses siasatan ini melibatkan pemeriksaan visual di lokasi kejadian, pengukuran dan semakan komponen paip gas, pengambilan sampel paip untuk analisis ujian makmal, semakan sistem kawalan dan analisis perkomputeran.
“Hasil siasatan mendapati paip gas yang terlibat memenuhi spesifikasi teknikal yang ditetapkan. Analisis mendapati paip gas ini patah setelah bahagian sambungan kimpalan mengalami kelesuan mekanikal.
“Apabila paip gas kekurangan daya sokongan tanah, ia mengalami pergerakan berulang seterusnya menyebabkan berlaku fatigue yang tertumpu di bahagian sambungan kimpalan. Paip telah mengalami pergerakan ketara dalam tanah disebabkan oleh perubahan fizikal.
“Keadaan ini turut dipengaruhi oleh pengumpulan air setempat dalam tempoh masa yang lama yang menyebabkan kehilangan sokongan tanah di sekeliling paip,” katanya.
Abdul Rahman berkata demikian ketika pertanyaan lisan di Dewan Rakyat hari ini.
Di samping itu kata beliau aktiviti antropogenik di sekitar kawasan kejadian yang mengubah topografi asal turut menyumbang kepada ketidakstabilan tanah di mana dapatan ini konsisten dengan laporan oleh Jabatan Mineral dan Geosains (JMG), Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam.
Mengulas lanjut berkenaan Piawaian Prosedur Operasi Standard (SOP) penyelenggaraan talian paip gas milik Petronas pula, beliau berkata siasatan mendapati tahap keselamatan talian paip gas milik Petronas tersebut adalah mengikut standard yang ditetapkan piawaian antarabangsa yang diiktiraf.
“Berdasarkan langkah yang telah diambil dan pemeriksaan yang dijalankan oleh JKKP, sistem paip gas di seluruh jajaran di Malaysia masih lagi selamat. KESUMA melalui JKKP sentiasa komited memastikan tahap keselamatan yang tinggi bukan sahaja kepada para pekerja, malah turut memberi keutamaan kepada keselamatan orang awam.
“Justeru, JKKP telah mengarahkan pihak operator paip gas supaya segera melaksanakan langkah kawalan dan penambahbaikan bagi memastikan operasi paip gas kekal selamat dan berintegriti tinggi,” ujar beliau. – UMNO Online