Johari Gesa Ahli UMNO Ubah Cara Fikir, Terbuka Terhadap Pandangan
KUALA LUMPUR, 28 Julai – Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Johari Abdul Ghani menggesa ahli-ahli UMNO di semua peringkat agar segera mengubah cara berfikir dan lebih terbuka terhadap pandangan, khususnya daripada golongan muda.
Menurut beliau, pengundi muda masa kini mempunyai cara pemikiran yang jauh berbeza daripada generasi terdahulu dan pemahaman terhadap kehendak serta aspirasi mereka adalah kunci kepada kelangsungan serta relevansi parti.
“Pengundi muda hari ini berfikiran jauh berbeza daripada generasi kita dan yang sebelumnya. Di kebanyakan negara di dunia, mereka yang berumur 18 tahun juga kini telah secara automatik menjadi pengundi dan ini termasuk di Malaysia.
“Jika parti kita tidak memahami pemikiran mereka, bagaimana kita mahu lahirkan pemimpin muda dan pastikan parti ini terus kekal relevan? Sudah tentu sukar,” tegas beliau menerusi hantaran dalam laman Facebooknya.
Terdahulu, Johari telah merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Sipitang, Beaufort, Shah Alam dan Ampang baru-baru ini.
Beliau turut menekankan kepentingan membentuk pasukan yang mantap di semua peringkat bagi menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) yang akan dating dan mengibaratkan persediaan jentera parti seperti pasukan bola sepak yang memerlukan kerjasama padu dari semua pemain.
“Kita tidak boleh bergantung kepada seorang ‘striker’ sahaja untuk menang tetapi jika semua pemain memainkan peranan dan fungsi masing-masing dengan baik tanpa sebarang percanggahan, Insya-Allah, separuh daripada cabaran menghadapi PRU sudah dapat diselesaikan,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan dan tahniah kepada semua kepimpinan UMNO bahagian yang terlibat, khususnya Ketua UMNO Bahagian Sipitang, Abd Rahman Mohd Noh; Beaufort, Datuk Awang Aslee Lakat; Shah Alam, Datuk Azhari Shaari dan Ampang, Mohamad Nadzim Ibrahim atas kejayaan menganjurkan mesyuarat perwakilan dengan teratur dan baik. – UMNO Online