Cemerlang SPM, Peserta Tiusyen Rakyat RISDA Dapat Insentif RM300 – Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR, 28 Julai – Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) mengumumkan insentif khas RM300 kepada semua pelajar cemerlang Program Tuisyen Rakyat RISDA bagi Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024, sebagai penghargaan atas pencapaian membanggakan menerusi inisiatif pendidikan luar bandar itu.

Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata sebanyak 884 peserta program itu memperoleh keputusan cemerlang pada SPM tahun lepas dengan 17 orang meraih 11A,16 orang (10A) dan 72 orang (9A).

“Saya amat berbangga dengan peningkatan prestasi yang ditunjukkan. Daripada 654 pelajar cemerlang (5A ke atas) pada 2023, kini meningkat kepada 884 orang dan ini hasil usaha menyeluruh pelajar, ibu bapa, guru serta ekosistem pendidikan luar bandar dan RISDA.

“Insentif khas ini adalah penghargaan atas usaha gigih dan semangat juang anak-anak desa. Kejayaan anak-anak RISDA ini membuktikan walaupun kita duduk di kawasan perdesaan, ia bukan satu halangan untuk berjaya,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Apresiasi Pelajar Cemerlang Program Tuisyen Rakyat RISDA di sini hari ini, yang turut dihadiri Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah Datuk Rubiah Wang, Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA) Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki serta Pengerusi RISDA Manndzri Nasib. – BERNAMA

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79