BN Konsisten Demi Kestabilan Sabah… Keputusan GRS Dihormati – Salleh Said

KOTA KINABALU, 28 Julai – Bendahari UMNO Sabah, Datuk Seri Salleh Said Keruak menyifatkan keputusan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) memilih Pakatan Harapan (PH) sebagai rakan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah sebagai satu langkah yang wajar dan perlu dihormati.

Menurut beliau, GRS akhirnya menolak untuk bergerak secara solo dan sebaliknya memilih bekerjasama dengan parti-parti nasional, satu keputusan yang diyakini berasaskan pertimbangan tertentu dan akan dinilai oleh rakyat.

“GRS turut menolak formula Sarawak yang menjauhkan diri daripada parti nasional. Mereka sebaliknya memilih untuk bersama parti-parti nasional. Barisan Nasional (BN) pula sejak awal lagi konsisten menyatakan bahawa gabungan dengan PH adalah pendekatan terbaik demi kestabilan,” katanya dalam kenyataan menerusi laman Facebooknya, hari ini.

Mengulas lanjut, Salleh berkata, langkah GRS itu mungkin didorong oleh kesediaan mereka untuk bekerjasama dengan parti Perdana Menteri, demi menjamin hubungan yang baik dengan kerajaan pusat dan memastikan kestabilan politik serta pembangunan berterusan di Sabah.

“Bagi BN, kita sudah awal-awal membuat pilihan untuk bersama PH kerana kita merupakan asas kepada Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan. Maka kerjasama ini adalah satu kesinambungan yang logik dan bertanggungjawab,” ujarnya.

Tambah beliau lagi, bagaimana PH mengurus kerjasama bersama BN dan GRS bukan urusan parti, namun apa yang penting ialah keikhlasan BN dalam menjayakan kerjasama dan memperkukuh kekuatan di peringkat akar umbi.

“Kita mahu menang bersama dan bantu rakan-rakan dalam gabungan. Kita tidak bermain dua muka. Pendekatan kita jelas – jujur, terbuka dan demi kebaikan rakyat Sabah,” tegas Salleh lagi. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79