Bantuan Musim Tengkujuh Pekebun Kecil Diteruskan Tahun Ini – Ahmad Zahid
KUALA LUMPUR, 28 Julai – Kerajaan akan meneruskan pelaksanaan Bantuan Musim Tengkujuh (BMT) tahun ini sebagai usaha membantu pekebun kecil yang terkesan akibat ketidaktentuan cuaca, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Beliau berkata, sebanyak RM264.91 juta diperuntukkan bagi pelaksanaan program berkenaan, yang memberi manfaat kepada lebih 330,000 penerima di seluruh negara termasuk di bawah Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) dan Lembaga Industri Getah Sabah (LIGS).
“Bantuan ini adalah selaras dengan komitmen Kerajaan Madani membela nasib masyarakat luar bandar. BMT bukan sekadar bantuan kewangan sekali beri, ia adalah talian hayat dan penyambung rezeki saat musim hujan menggugat hasil tuaian.
“Inilah wajah sebenar keprihatinan Kerajaan Madani terhadap pekebun kecil yang menjadi nadi kepada industri negara,” katanya ketika berucap pada Majlis Apresiasi Pelajar Cemerlang Program Tuisyen Rakyat Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) di sini pada Isnin.
Turut hadir, Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah Wang; Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dan Pengerusi RISDA, Manndzri Nasib.
Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, ketidakstabilan harga komoditi dan cuaca yang tidak menentu saban tahun memberi tekanan kepada pekebun kecil dari segi hasil dan pendapatan.
Justeru, beliau berkata, sokongan seperti BMT merupakan satu bentuk intervensi penting dalam dasar pembangunan luar bandar, yang bukan sahaja berfungsi sebagai sokongan ekonomi malah sebagai pengiktirafan kepada keringat pekebun kecil. – Bernama