UMNO Dalam Keadaan Terbaik Berbanding Parti Lain – Abdul Rahman
SUNGAI PETANI, 27 Julai 2025 – Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad, mengingatkan ahli-ahli UMNO agar mengutamakan perpaduan, disiplin dan kerja berpasukan, sambil meninggalkan budaya negatif seperti ‘cas keting’ yang boleh melemahkan parti.
Berucap ketika merasmikan Mesyuarat UMNO Bahagian Sungai Petani, beliau seterusnya menyatakan bahawa UMNO kini berada dalam keadaan terbaik berbanding parti-parti politik lain di negara ini, hasil kombinasi pemimpin baharu dan lama yang saling melengkapi.
“Hari ini UMNO berada dalam suasana terbaik jika dibandingkan dengan parti-parti lain. Gabungan pengalaman lama dan semangat baharu memberikan kekuatan kepada kita,” katanya di hadapan perwakilan.
Abdul Rahman turut menegaskan bahawa semua ahli parti perlu mula bekerja dari sekarang dan tidak menunggu saat akhir pilihan raya, selain memberikan sokongan penuh kepada sesiapa sahaja calon yang bakal diletakkan.
“Jangan tangguh lagi. Laksanakan tugas sebaik mungkin, walau siapa pun jadi calon nanti. Kita mesti terbuka hati dan berserah kepada Allah. Jangan tembak kaki sendiri,” tegas beliau.
Dalam pada itu beliau menyifatkan komitmen tinggi dan semangat berpasukan yang ditunjukkan oleh UMNO Sungai Petani sebagai satu kelebihan besar kepada parti.
“Fokus kita jelas… menang pilihan raya dan kembali berkhidmat kepada rakyat. Itu matlamat utama,” katanya. – UMNO Online