Pendekatan ‘Lima K’ Antara Langkah Perkasakan Lagi Wanita UMNO

BALIK PULAU, 27 Julai – Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan, menyarankan agar Wanita UMNO mengamalkan pendekatan ‘Lima K’ sebagai formula untuk memperkukuh lagi peranan mereka dalam parti dan masyarakat.

Menerusi temubual bersama UMNO-Online selepas majlis perasmian Mesyuarat Wanita UMNO Bahagian Balik Pulau, beliau menjelaskan bahawa pendekatan tersebut merangkumi lima elemen asas yang menjadi tunjang kekuatan wanita.

“‘K’ pertama adalah Keluarga… menjaga dan memelihara keharmonian rumah tangga, keduanya Kerohanian iaitu meningkatkan penghayatan agama melalui pelbagai aktiviti rohani.

“Seterusnya Kebajikan iaitu menyantuni masyarakat melalui kerja-kerja kebajikan dan Kemahiran, meningkatkan kapasiti dan kebolehan diri dalam pelbagai bidang.

“Terakhir adalah Keusahawanan iaitu menggalakkan wanita menjana pendapatan dan berdikari secara ekonomi. Saya harap pendekatan ‘Lima K’ ini boleh difikirkan dengan baik dan jika sesuai, boleh diamalkan oleh wanita UMNO di seluruh negara,” katanya.

Menurut Ahmad, kelima-lima elemen ini bukan sahaja penting sebagai persediaan menghadapi pilihan raya, malah mampu memperkukuh peranan wanita sebagai penggerak utama dalam pembangunan masyarakat.

“Kita bukan saja nak siapkan diri untuk pilihan raya, tetapi juga nak siapkan kawasan dan komuniti melalui penglibatan aktif wanita dalam lima bidang ini,” tambahnya.

Beliau turut menekankan bahawa Wanita UMNO adalah aset penting parti yang telah terbukti memainkan peranan besar dalam menggerakkan jentera pilihan raya dan memperjuangkan isu-isu rakyat, khususnya wanita dan keluarga. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79