Kembali Kepada Akar Perjuangan, Pengalaman Jadi Pedoman
INDERA MAHKOTA, 27 Julai – Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berpandangan UMNO perlu kembali kepada akar perjuangannya dengan mendekati semula rakyat dan menjadikan pengalaman lalu sebagai pengajaran untuk membina semula kekuatan parti.
Menurut Dr Asyraf yang juga Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), refleksi terhadap sejarah dan pencapaian UMNO adalah penting bagi memastikan parti kekal relevan dalam landskap politik negara.
“UMNO kena kembali pada akar perjuangannya, kena kembali kepada rakyat dan muhasabah perkara-perkara yang lepas sebagai satu pengajaran dan pedoman untuk ahli parti bangkit semula. Apa yang berlaku lepas adalah pengajaran bahawa hakikatnya rakyat melihat pencapaian yang UMNO telah laksanakan sepanjang menerajui kerajaan.
“Apabila UMNO mentadbir kerajaan tidak pernah diskriminasi mahupun meninggalkan sesiapa. Bahkan UMNO telah membawa negara ini ke asas kestabilan yang tinggi dengan memasakkan nilai toleransi yang tinggi, hormat-menghormati di antara pelbagai kaum dan agama sebagai teras pada kekuatan bina negara bangsa.
“Asas ini perlu difahami oleh UMNO hari ini untuk bergerak ke hadapan. Kita tidak boleh memainkan sentimen perkauman, keagamaan dan mengapi-apikan seolah-olah mahu mewujudkan kerajaan Melayu semata-mata… tidak. Ini adalah nama Malaysia yang berbilang kaum dan berbilang agama,” katanya ketika merasmikan mesyuarat perwakilan UMNO Bahagian Indera Mahkota, di Cendana Ballroom Seri Manja Hotel, di sini, hari ini.
Turut hadir, Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO merangkap Ketua UMNO Bahagian Maran, Datuk Seri Shahaniza Shamsuddin, Ketua UMNO Bahagian Indera Mahkota, Datuk Mustapha Abdul Hamid, Timbalan Ketua UMNO, Faiz Hashim serta pimpinan empat peringkat.
Mengulas lanjut, Dr Asyraf berkata lagi, pemimpin-pemimpin UMNO terdahulu telah membina asas perjuangan yang berpaksikan kepada kepentingan agama Islam, bangsa Melayu dan institusi Raja-Raja sebagai tunjang utama negara, khususnya selepas peristiwa 13 Mei yang mengubah landskap politik negara.
“Perjuangan yang dibina oleh pemimpin-pemimpin UMNO ketika merdeka dahulu, ketika terjadinya peristiwa 13 Mei untuk bergerak ke hadapan dan harus memahami bahawa fasa utama negara seperti kedudukan agama, bangsa dan institusi Raja-Raja Melayu dihormati dalam realiti kemajmukan. Kita tidak boleh memisahkan dari realiti ini dan itulah asas kestabilan negara.
“Apabila terwujudnya Kerajaan Perpaduan atas titah Yang di-Pertuan Agong (YDPA) mengambil kita bahawa tunjang utama tidak boleh diusik. Tunjang utama adalah Islam, bangsa dan institusi Raja-Raja Melayu, tetapi harus mengambil kita dan hak kesaksamaan untuk semua kaum dan juga agama.
“Itulah yang melahirkan Kerajaan Perpaduan yang mengandungi 18 parti di dalamnya dan bukan saja orang Melayu, Cina, India, Kadazan dan sebagainya. Ia berbeza dengan parti pembangkang yang hanya fokus pada satu orientasi kaum saja yang tidak boleh mewujudkan negara yang stabil dengan apa jua keadaan,” katanya lagi.
Pada masa yang sama kata Dr Asyraf lagi, komitmen tinggi ditunjukkan oleh Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail bersama barisan exco kerajaan negeri jelas terbukti melalui pelbagai inisiatif yang dilaksanakan demi kebajikan rakyat tanpa mengira kaum atau latar belakang.
“Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail serta exco-exconya telah ke hadapan bagi memastikan kebajikan dan kesejahteraan rakyat di negeri Pahang ini terpelihara. Pelbagai inisiatif baharu yang diperkenalkan dan dibawa oleh beliau, bukan hanya untuk satu kaum mahupun bangsa saja tetapi mendapat manfaat untuk seluruh rakyat negeri Pahang.
“Hasil yang dapati dari negeri ini adalah yang terbaik di Malaysia. Sekiranya ada yang menyatakan tidak baik dan tidak fokus pada pentadbiran negeri maka mereka ini ibarat hidup ‘mimpi dalam mimpi,” ujarnya. – UMNO Online