Keberadaan MIC Bersama BN Harus Dikekalkan – Ahmad Zahid
RAUB, 27 Julai – Keberadaan MIC Bersama Barisan Nasional (BN) harus dikekalkan, kata Pengerusi BN merangkap Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, beliau yakin bahawa MIC mempunyai masa depan yang cerah pada masa akan datang sekiranya para pengundi India kembali memberikan sokongan kepada parti tersebut.
“MIC adalah sebuah parti untuk kaum India yang kuat. Struktur organisasinya sangat tersusun. Pengaruhnya juga amat melebar luas.
“Saya yakin sekiranya pengundi-pengundi India kembali memberikan sokongan kepada MIC, tentunya MIC akan ada lebih ramai wakil di peringkat Parlimen dan juga Dewan Undangan Negeri (DUN).
“Saya yakin masa depan mereka sangat cerah seperti yang mereka pernah lalui dahulu. Begitulah sebaik-baiknya (terus bersama BN), sebab daripada zaman Kerajaan Perikatan dahulu sehingga kini kita tidak pernah berpisah. Ini harus dikekalkan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui sejurus selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Raub, di sini, sebentar tadi.
Dalam pada itu, beliau berpandangan bahawa jualan rahmah Madani diadakan untuk meringankan beban golongan sasar yang memerlukan.
“Sumbangan Asas Rahmah (SARA) yang ada itu dikekalkan. Pengumuman SARA oleh Perdana Menteri baru-baru ini merupakan imbuhan tambahan. Ini termasuk kepada mereka yang tidak layak turut diberi penghargaan.
“Jualan Rahmah itu juga untuk rakyat di kawasan bandar bagi penduduk yang tinggal di rumah-rumah kos rendah. Mereka ini juga memerlukan bantuan agar barangan murah ini dijual. Untuk makluman, kerajaan telah memperuntukkan RM300 juta untuk jualan rahmah ini.
“Kumpulan sasar perlu ambil peluang sebab barangan asas tersebut dijual dengan diskaun di kawasan berkepadatan tinggi tanpa melupakan kawasan-kawasan luar bandar yang kita telah kenal pasti untuk diadakan,” katanya lagi. – UMNO Online