Dakwaan Islam, Melayu Terancam Di Bawah Kerajaan Perpaduan Adalah Fitnah
KUALA BERANG, 26 Julai – Setiausaha Agung UMNO Datuk Asyraf Wajdi Dusuki berkata dakwaan kononnya Islam dan Melayu terancam di bawah pemerintahan Kerajaan Perpaduan adalah tohmahan dan fitnah semata-mata.
Sebaliknya Asyraf Wajdi berkata di bawah Kerajaan Perpaduan, Islam sentiasa berkembang dan diperkasakan melalui peruntukan besar yang disalurkan kerajaan.
Beliau berkata sebagai contoh pada tahun ini, peruntukan sebanyak RM2 bilion diagihkan kepada institusi agama termasuk Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), bagi memaju dan membangunkan syiar Islam di negara ini.
“Ini angka yang diterima institusi terkait agama seperti JAKIM di bawah Kerajaan Perpaduan. Tidak termasuk program Islam dan program memperkasakan pendidikan serta ekonomi orang Melayu melalui Majlis Amanah Rakyat (Mara) dan Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKDW).
“Dalam tempoh 30 bulan UMNO menyertai Kerajaan Perpaduan, Timbalan Perdana Menteri (Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi) dan menteri-menteri Kabinet telah berusaha bersungguh-sungguh dalam mempertahankan agenda Islam,” katanya.
Beliau yang juga Pengerusi Mara berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Hulu Terengganu 2025 di Akademi Binaan Malaysia (ABM) Wilayah Timur, di Jenagor, dekat sini hari ini.
Turut hadir Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Terengganu Datuk Rozi Mamat.
Asyraf Wajdi turut mengingatkan perwakilan dan ahli UMNO supaya menangani tohmahan seumpama itu bagi mencegah suasana tidak sihat dalam kalangan rakyat berbilang kaum.
“Inilah antara perkara yang sentiasa difitnah dan menjadi mainan dan tohmahan pihak-pihak yang mencemburui keberadaan UMNO dalam Kerajaan Perpaduan,” katanya. – BERNAMA