Bukan Solo Tapi Solo
MUNGKIN ramai yang agak keliru dengan tajuk kenyataan saya. Saya merujuk kepada kenyataan YAB Presiden DSZH yang diucapkan di dalam Forum BN baru-baru ini di WTC.
Tegas menyatakan UMNO dan BN tidak akan bergerak solo dalam menghadapi PRU16 tetapi ramai termasuk media yang hanya mengambil separuh sahaja kenyataan yang tidak pula memberi tumpuan kebenaran yang terpenting bilamana BN akan bertanding di dalam PRU16 menggunakan lambang dacingnya sendiri. Ini “fundamental” politik yang ramai kena sedar.
Kalau kita lihat pada PRU14, bagaimana logo PKR digunakan oleh semua parti termasuk Bersatu dan DAP bertanding di bawah komponen PH. Malah pada PRU15 PAS juga bertindak sama di mana hanya di Kelantan menggunakan logonya sendiri untuk bertanding. Ahli Parlimen Machang YB Wafa walaupun Ahli PPBM tetapi bertanding menggunakan logo PAS dan bukan PN. Apa signifikan kegunaan logo ini di dalam pilihan raya?
Itu sebenarnya strategi dan isyarat yang dihantar bagi mengelakkan pertindihan kerusi parlimen dan lawan 1 BN vs 1 PN. Parti kita bertindak untuk menyusun strategi dan kaedah “untuk menang banyak dan bukan bertanding banyak”. Jika solo, 191 kerusi kita boleh bertanding semua tetapi berapa jaminan boleh menang? Tiada sorang berani beri jaminan. Kita dah pernah cuba di dalam PRU15, kita hanya dapat 30 kerusi sahaja. Lupa ker??
Kita sudah punyai “success template” di 4 PRK iaitu Pelangai, Nenggiri, Mahkota dan Air Kuning bila kita bertanding guna logo BN tetapi bekerjasama dengan rakan-rakan PH. Parti dan YAB Presiden kita sedang menguruskan “kesan kekalahan yang teruk” di dalam PRU15 dan ingin menjadikan kita dominan semula.
Realiti politik masa kini kita sudah tidak boleh berpaksi kepada “one single party” untuk mentadbir negara. Mesti bergabung, malah jika PN ingin memerintah negara mereka kena “bersifat majmuk” seperti mana YB TSMY berjumpa dengan 11 pemimpin parti di luar blok kerajaan kerana ingin mengelakkan pertindihan kerusi di dalam PRU16 nanti.
Sejarah PAS pun tidak pernah berani untuk bergerak solo selama ini. Mesti bergabung seperti Gabungan APU, Barisan Alternatif dan Pakatan Rakyat dan terkini Perikatan Nasional.
Akhir kata, YAB Presiden sedang membina kekuatan UMNO/BN yang sebenarnya PN tidak mahu lihat kita kuat dan bangkit semula kerana jika pertembungan 1 lawan 1 di PRU16. Peluang mereka amat tipis, buktinya mereka sedar di 4 PRK sebelum ini. Oleh itu sebelum PRU16 pecahkan UMNO dari dalam, itu niat jahat mereka. Wallahua’lam.
Gulam Muszaffar
Ketua UMNO Bhgn Batu WP