Perjuangan Palestin: Majlis Keselamatan PBB Perlu Direformasi – Mohamad
KUALA LUMPUR, 24 Julai – Malaysia berpandangan bahawa Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) perlu direformasikan dengan mengehadkan penggunaan kuasa veto terutamanya dalam isu berkaitan pembunuhan beramai-ramai dan seumpama dengannya.
Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, Malaysia sejak awal lagi merupakan sebuah negara yang berprinsip dalam menzahirkan sokongan terhadap perjuangan rakyat Palestin.
“Tidak ada perkataan sesuai untuk digambarkan apa yang berlaku di Gaza. Ia merupakan satu kekejaman di luar komprehensif. Malaysia sejak awal merupakan sebuah negara yang secara berprinsip menyokong perjuangan rakyat Palestin.
“Sejak mereka diusir daripada tanah air, dibunuh dengan kejam, dihalau daripada rumah sehingga sekarang (penyeksaan) tidak henti-henti maka sokongan Malaysia terhadap penderitaan dan perjuangan rakyat Palestin ini merupakan sesuatu yang berprinsip.
“Ramai rakan sejawat tanya mengapa kita menyokong Hamas iaitu sebuah organisasi yang telah pun dilabel sebagai pengganas? Malaysia mengatakan, kita bukan menyokong Hamas… kita menyokong perjuangan Palestin dan Hamas itu sebahagian daripada Palestin,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sesi soal jawab menteri di Dewan Rakyat, sebentar tadi.
Beliau yang juga Timbalan Presiden UMNO berkata, Malaysia telah membawa suara rakyat untuk menegakkan perjuangan Palestin di pelbagai pentas bahkan persidangan antarabangsa.
“Berbagai-bagai pentas baik di United Nation (UN), Majlis Keselamatan PBB, Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ)… Malaysia mengutuk kekejaman dan kita mahu supaya rakyat Palestin kembali ke tanah air dan menubuhkan sebuah negara yang merdeka, berdaulat dan diperintah sendiri mengikut sempadan sebelum 1967 serta Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara mereka.
“Ini asas kita. Ini perjuangan dan sokongan kita terhadap rakyat Palestin. Tetapi alhamdulilah kebelakangan ini telah banyak negara yang dulunya amat kuat menyokong rejim zionis Israel telah pun ‘berubah angin’. Mereka telah sedar betapa kejamnya rejim zionis Israel ini membunuh wanita dan kanak-kanak.
“Rejim zionis Israel mengatakan bahawa mereka ada hak untuk membela diri. Tetapi apabila saya tanya apakah dengan membunuh wanita dan kanak-kanak itu sebagai satu cara untuk mempertahankan diri? Kalau benar pun, berapa ramai lagi yang perlu dibunuh untuk memuaskan hati mereka bagi mempertahankan diri?” katanya lagi.
Mengulas lanjut, beliau memaklumkan bahawa Malaysia dan beberapa buah negara sepemikiran akan membawa usul untuk PBB mengehadkan penggunaan kuasa veto dan menambah ahli tetap dari blok lain-lain.
“Ini satu perkara yang seluruh dunia sekarang mengutuk rejim zionis ini tapi malangnya walaupun kita ada sokongan majoriti di Perhimpunan Khas PBB tetapi di peringkat Majlis Keselamatan PBB ianya ‘di veto’ oleh rakan baik mereka. Itu sebabnya saya telah membawa suara mewakili Malaysia semasa dalam perbahasan di Majlis Keselamatan dan juga di PBB.
“Kita mahu supaya Majlis Keselamatan PBB itu direformasi, bahawa pada pendapat kita ahli tetap lima negara tersebut tidak boleh menggunakan kuasa veto sewenang-wenangnya terutamanya ke atas kes-kes yang berunsurkan ‘genocide’, penganiayaan, kekejaman terhadap manusia, pemusnahan terhadap struktur awam dan lain-lain.
“Insya-Allah kita akan bersepakat dan membawanya pada persidangan Perhimpunan Agung PBB yang akan datang ini sekali lagi supaya Majlis Keselamatan PBB ini di ‘reform’, kuasa veto itu dihadkan dan ditambah ahli tetap daripada blok Amerika Selatan, Asia serta Afrika. Ini sedang kita lakukan dan ia mendapat reaksi yang baik daripada negara-negara sepemikiran,” katanya lagi. – UMNO Online