Kerajaan Madani Komited Pastikan Hak Asasi Manusia Dihormati, Dilaksana – Azalina
KUALA LUMPUR, 24 Julai – Kerajaan Madani kekal teguh dalam komitmen untuk memastikan prinsip-prinsip hak asasi manusia dihormati dan dilaksanakan secara adil serta saksama.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, jaminan terhadap hak-hak asasi manusia ini menjadi tanggungjawab utama kerajaan untuk memelihara, melindungi, dan menjunjung tinggi hak-hak ini.
“Hak asasi manusia kekal sebagai satu agenda penting yang terus diberi perhatian di peringkat nasional dan antarabangsa. Ia menjadi asas utama kepada keharmonian, keadilan dan kesejahteraan sejagat.
“Di Malaysia, jaminan terhadap hak-hak asasi termaktub dengan jelas melalui Bahagian Kedua Perlembagaan Persekutuan yang merangkumi Perkara 5 hingga Perkara 13. Ia menjadi tanggungjawab utama kerajaan untuk memelihara, melindungi dan menjunjung tinggi hak-hak ini.
“Selaras dengan prinsip mengangkat nilai kemanusiaan dan kesejahteraan sebagai teras pentadbiran negara, Kerajaan Madani yang dipimpin oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, kekal teguh dalam komitmen memastikan prinsip-prinsip hak asasi manusia termasuk kebebasan yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dihormati sekaligus dilaksanakan secara adil serta saksama. Kerajaan yakin bahawa pengukuhan hak asasi merupakan asas kepada pembangunan masyarakat yang sejahtera dan harmoni,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membentangkan usul Laporan Tahunan Dan Penyata Kewangan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) Bagi Tahun 2023 di Dewan Rakyat, sebentar tadi.
Beliau yang juga Ketua Penerangan UMNO Malaysia berkata, kerajaan turut komited untuk memperkukuhkan SUHAKAM sebagai institusi dengan pelbagai inisiatif.
“SUHAKAM sebagai badan penyelia, atau dengan izin, ‘oversight body’ berperanan untuk menasihati, memantau dan memastikan supaya prinsip-prinsip hak asasi manusia sentiasa dihormati dan dipelihara dalam dasar serta pelaksanaan agensi-agensi kerajaan.
“Di samping reformasi undang-undang hak asasi manusia yang telah diluluskan di Dewan yang mulia ini, Kerajaan Madani pula sentiasa komited dalam memperkukuh SUHAKAM sebagai institusi.
“Antaranya adalah Pemerkasaan Pejabat Pesuruhjaya Kanak-Kanak melalui pindaan kepada Akta Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia 1999 [Akta 597], yang memperuntukkan jawatan Ketua Pesuruhjaya Kanak-Kanak dan dua jawatan Pesuruhjaya Kanak-Kanak bagi memberikan lebih peluang kepada pesuruhjaya untuk melaksanakan tanggungjawab mereka secara efektif.
“Pindaan ini juga memastikan pelantikan Pesuruhjaya SUHAKAM lebih mencerminkan kepelbagaian masyarakat Malaysia. Pindaan ini mewajibkan supaya komposisi Pesuruhjaya merangkumi individu daripada pelbagai latar belakang, termasuklah wakil wanita serta individu daripada kalangan Orang Kurang Upaya (OKU),” katanya lagi.
Mengulas lanjut, beliau menegaskan bahawa segala usaha tersebut adalah selaras dengan pendekatan kerajaan berteraskan keterangkuman, keadilan dan kesaksamaan dalam setiap aspek tadbir urus.
“Ini adalah selaras dengan pendekatan Kerajaan Madani yang berteraskan keterangkuman, keadilan dan kesaksamaan dalam setiap aspek tadbir urus.
“Secara keseluruhan, inisiatif-inisiatif ini memperkukuh imej Malaysia sebagai sebuah negara yang menjunjung tinggi hak asasi manusia serta komited dalam memperjuangkan reformasi undang-undang yang inklusif, progresif dan berasaskan
keadilan untuk semua,” katanya lagi. – UMNO Online