Akses Keadilan: Kuala Pilah Cadang Klinik Guaman Bergerak Diperluas

KUALA LUMPUR, 24 Julai – Ahli Parlimen Kuala Pilah, Datuk Adnan Abu Hassan mencadangkan agar Klinik Guaman Bergerak SUHAKAM dan Biro Bantuan Guaman diperluaskan ke kawasan luar bandar secara berkala dan berjadual agar keadilan dapat diakses oleh rakyat berpendapatan rendah.

Beliau yang juga Timbalan Ketua UMNO Bahagian Kuala Pilah berkata, aduan berkaitan kelewatan perbicaraan, bantuan guaman dan kekurangan maklumat undang-undang masih berleluasa di kawasan luar bandar.

“Isu penting yang menarik perhatian dalam laporan ini adalah berkaitan akses kepada keadilan, terutamanya dalam kalangan rakyat berpendapatan rendah dan yang tinggal di kawasan luar bandar.

“Aduan berkaitan kelewatan perbicaraan, ketiadaan bantuan guaman, dan kekurangan maklumat undang-undang masih berleluasa sekali gus menimbulkan jurang keadilan antara bandar dan desa.

“Di kawasan seperti Kuala Pilah, realiti ini amat dirasai. Ramai penduduk luar bandar menghadapi kesukaran untuk ke mahkamah, mendapatkan peguam, atau memahami proses perundangan, lebih-lebih lagi apabila terlibat dalam kes-kes sivil dan jenayah, harta pusaka, atau konflik pekerjaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sesi perbahasan usul Laporan Tahunan Dan Penyata Kewangan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) Bagi Tahun 2023 di Dewan Rakyat, sebentar tadi.

Dalam pada itu, turut berpandangan bahawa proses digitalisasi perundangan dan e-guaman perlu diperkasa secara inklusif.

“Sebagai seorang yang berlatarkan profesion undang-undang, Kuala Pilah perundangan itu sendiri boleh menjadi asing, teknikal dan menakutkan bagi orang awam apatah lagi jika mereka tiada akses kepada bantuan guaman, atau tidak tahu di mana hak mereka bermula dan berakhir.

“Justeru, Kuala Pilah mencadangkan agar Klinik Guaman Bergerak SUHAKAM dan Biro Bantuan Guaman diperluaskan ke kawasan luar bandar secara berkala dan berjadual,selain melaksanakan program celik undang-undang kepada komuniti.

“Selain itu, digitalisasi proses perundangan dan e-guaman harus diperkasa secara inklusif agar tidak meminggirkan golongan yang tiada capaian internet atau celik digital.

“Hak untuk mendapatkan keadilan adalah hak asasi yang dijamin Perlembagaan. Maka menjadi tanggungjawab semua pihak memastikan keadilan bukan hanya terletak di bandar-bandar yang maju, tetapi benar-benar sampai ke hujung kampung, ke setiap pelosok tanah air,” katanya lagi. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79