Sokongan Anak Muda Semakin Meningkat, Pemuda Dan Puteri Perlu Kekalkan Momentum
JITRA, 23 Julai – Keputusan Pilihan Raya Kecil (PRK) di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri, Mahkota dan Ayer Kuning jelas menunjukkan sokongan rakyat terutama anak muda semakin meningkat dan berpihak kepada UMNO/Barisan Nasional (BN).
Mengulas perkara demikian, Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO Datuk Hasmuni Hassan berkata berdasarkan senario demikian, sayap parti yang mewakili anak muda seperti Pergerakan Pemuda dan Puteri UMNO disaran mengekalkan momentum prestasi tersebut untuk pilihan raya umum akan datang.
“Pengundi muda, mahasiswa beralih arah kecenderungannya kepada UMNO dan BN. Tetapi pesan saya kepada Pemuda dan Puteri, ambillah peluang ini supaya anak-anak muda kembali dan mengundi BN.
“Nyatakan UMNO/BN adalah sebuah parti harapan, parti masa depan untuk anak muda dalam negara ini. Yakinlah UMNO/BN adalah pilihan tepat untuk membina generasi bangsa masa akan datang,” katanya kepada UMNO Online.
Tambahnya, golongan muda semakin sedar BN mampu mentadbir dengan baik dan dasar-dasar yang dilaksanakan untuk kepentingan rakyat.
“Pertama di Nenggiri yang menunjukkan satu peningkatan yang cukup luar biasa di mana UMNO/Barisan Nasional menang di bumi Kelantan, satu negeri yang tidak pernah kita fikirkan bahawa kita boleh menang.
“Negeri ini kita pernah menang dan mentadbir dengan baik dan apabila Kelantan diperintah oleh Pas keadaan negeri amat jauh perbezaannya di mana UMNO memerintah dalam keadaan baik dan rakyat duduk dalam keadaan selesa.
“Di Mahkota, juga menunjukkan peningkatan anak-anak muda beralih arah kepada UMNO dan BN. Ini menunjukkan keyakinan anak-anak muda kepada UMNO/BN menampilkan Syed Hussien (Syed Hussien Syed Abdullah) sebagai calon dan terbaharu di DUN Ayer Kuning, peningkatan undi yang cukup membanggakan UMNO dan BN,” ujarnya lagi.
Manakala dalam perkembangan semasa, Hasmuni melihat persidangan perwakilan bahagian kali ini menunjukkan kebangkitan yang amat luar biasa daripada ahli.
“Menunjukkan kebangkitan ahli, orang UMNO dan mereka dahagakan kemenangan dan mahu UMNO memerintah negara dan dominan. UMNO perlu menerajui negara semula dan memimpin negara,” katanya.
Ujarnya, segala isu semasa berjaya dirungkai dan diberikan kefahaman kepada akar umbi terutama soal kerjasama bersama parti-parti di dalam Kerajaan Perpaduan. – UMNO ONLINE