Malam Maal Hijrah Di Gemencheh, Program Sentuhan Rohani

KUALA LUMPUR, 23 Julai – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gemencheh, Suhaimizan Bizar meluahkan kesyukuran dengan penganjuran Sambutan Maal Hijrah DUN Gemencheh 1447H yang dilaksanakan baru-baru ini.

Beliau yang juga Ketua Pemuda UMNO Bahagian Tampin berkata menambahkan lagi kemeriahan apabila sambutan yang diadakan di Dataran Mini Kampung Tengah menerima kehadiran luar biasa.

“Paling saya rasa bangga suasananya meriah, tenang, penuh ukhwah. Semua lapisan masyarakat hadir anak muda, ibu bapa, warga emas… suasana kampung terasa hidup dengan cahaya dan semangat perubahan.

“Dengan harapan setiap yang hadir dapat pulang dengan satu kesedaran baru tentang makna sebenar hijrah dalam kehidupan,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Bertemakan ‘Hijrah: Kemana Arahnya’ ia menampilkan pendakwah bebas, Ustaz Syamsul Debat sebagai penceramah bagi memberikan pengisian dan sentuhan rohani dalam mendepani tahun baharu.

Beliau dalam pada itu turut mengharapkan ia sebagai titik mula kepada perubahan yang lebih baik dalam komuniti.

“Ustaz Syamsul Debat hadir sebagai tetamu utama, dan seperti biasa, penyampaian beliau penuh dengan hikmah, seloroh dan sentuhan rohani yang membuatkan ramai terdiam sejenak… ada yang tersenyum, ada yang terfikir jauh.

“Terima kasih kepada semua yang datang, yang terlibat menjayakan dari belakang tabir, dan yang sudi bersama-sama menyemarakkan semangat hijrah.

“Semoga hijrah kita tahun ini bukan hanya sejarah, tapi jadi langkah baru yang penuh makna,” ujar beliau. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79