UMNO Sepanggar Lulus Usul Khas Junjung Titah Agong, Sokong Titah Adendum
SEPANGGAR, 22 Julai – UMNO Bahagian Sepanggar sebulat suara meluluskan satu usul khas berkaitan titah adendum Yang di-Pertuan Agong ke-16 yang menyentuh isu tahanan rumah, dalam persidangan perwakilan bahagian yang berlagsung pada Ahad.
Ketua Penerangannya, Datuk Fadilah Sarbi menegaskan bahawa meskipun perbezaan pendapat adalah lumrah dalam demokrasi, namun usul ini dibangkitkan berasaskan fakta dan prinsip undang-undang yang jelas serta termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
“Usul ini menjunjung tinggi kedaulatan undang-undang seperti yang terkandung dalam Rukun Negara, terutamanya membabitkan adendum titah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ke-16,” katanya kepada UMNO Online berkaitan hal terbabit.
Antara intipati utama usul tersebut adalah:
1. Menegaskan kuasa Yang di-Pertuan Agong berdasarkan Perkara 42(1) Perlembagaan Persekutuan dalam melaksanakan titah berkaitan tahanan rumah.
2. Adendum tersebut telah disahkan kewujudannya oleh Peguam Negara pada 9 Julai 2025, selepas 527 hari berlalu, sekali gus membuktikan ia bukan sekadar ‘hearsay’.
3. UMNO Sepanggar menyokong penuh afidavit yang dikemukakan oleh Naib Presiden UMNO merangkap Menteri Besar Pahang, YAB Dato’ Seri Diraja Wan Rosdy Wan Ismail.
4. Usul turut menggesa semua pihak termasuk Jabatan Peguam Negara, institusi kehakiman dan kerajaan untuk menghormati prinsip pengasingan kuasa serta kuasa Raja-Raja Melayu yang termaktub dalam Perlembagaan.
5. Dengan pengesahan adendum tersebut, UMNO Sepanggar menyatakan tiada keperluan untuk mengemukakan bukti baharu dan menggesa agar keadilan dapat dilaksanakan segera menurut lunas undang-undang.
“Alhamdulillah, usul ini disokong penuh tanpa sebarang bahas oleh seluruh perwakilan UMNO Bahagian Sepanggar. Terima kasih kepada semua yang hadir, dan kita teruskan perjuangan,” tambah Fadilah yang juga Timbalan Pengarah ll merangkap Setiausaha JUARA UMNO Sabah.
Terdahulu, UMNO Bahagian Sepanggar yang diketuai oleh Datuk Yakubah Khan telah melaksanakan persidangan bahagiannya dengan dirasmikan oleh Ketua UMNO Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh. – UMNO Online