Pindaan Akta Jalan, Parit Dan Bangunan Mampu Didik Masyarakat Lebih Prihatin – Shamsulkahar
KUALA LUMPUR, 22 Julai – Ahli Parlimen Jempol, Datuk Shamsulkahar Mohd Deli berkata pindaan Rang Undang-undang Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974, sebagai suatu langkah meningkatkan kesedaran tentang kepentingan menjaga kebersihan dan mendidik masyarakat supaya prihatin terhadap kebersihan persekitaran.
Jelasnya, masyarakat mempunyai kesedaran sivik yang rendah dengan sesuka hati membuang sampah di merata tempat.
“Pindaan akta ini yang memperkenalkan perintah khidmat masyarakat adalah wajar untuk mendidik golongan ini dan ada juga kalangan masyarakat mempunyai kesedaran sivik yang tinggi dan terpuji. Sanggup mengutip sampah dan menjaga kebersihan sekitar. Ada juga kalangan masyarakat mempunyai kesedaran sivik yang tinggi dan terpuji. Sanggup mengutip sampah dan menjaga kebersihan sekitar.
“Walaupun undang-undang kita semakin ketat dan tegas, namun kesalahan membuang sampah merata-rata ini berlaku saban hari. Bukan mudah untuk mengesan mereka yang membuang sampah di tempat awam kerana ianya biasa dilakukan tanpa kehadiran pihak berkuasa.
“Perbanyak CCTV di pasang di lokasi strategik, sekaligus mengawal serta mendisplinkan masyarakat agar menjaga kebersihan sekitar sebagaimana fungsi kamera AES mengesan kelajuan kenderaan di lebuhraya,” katanya pada perbahasan Rang Undang-undang Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974, di Dewan Rakyat, hari ini.
Shamsulkahar juga memohon Kerajaan memberikan data maklumat berkaitan berapa banyak kes yang telah disabitkan di bawah seksyen 47 Akta 133 setakat tahun 2020 sehingga kini.
“Pindaan seksyen 47(1A) Akta 133 memberi kuasa kepada Mahkamah untuk memerintahkan suatu perintah khidmat masyarakat kepada pesalah yang disabitkan.
“Apakah kriteria yang digunakan untuk menentukan tempoh khidmat masyarakat sehingga 12 jam bagi setiap pesalah? Adakah berasaskan keseriusan kesalahan atau rekod lampau,” katanya.
Tambah beliau lagi, pindaan seksyen 47 (1F) yang mana PBT boleh membuat undang-undang kecil untuk menetapkan jenis khidmat masyarakat di kawasan masing-masing.
“Apakah perancangan Kementerian agar jenis khidmat masyarakat adalah selaras dan seragam di setiap PBT seluruh negara?
“Apakah perancangan pihak berkuasa agar keselamatan pesalah adalah terjamin semasa melakukan khidmat masyarakat dan seterusnya, adakah pesalah akan dibekalkan perlindungan insurans semasa menjalani khidmat masyarakat,” ujarnya.
Kata Shamsulkahar, pindaan seksyen 47 (1D) memberi kuasa pemantuan dan pengawasan pelaksanaan khidmat masyarakat oleh pegawai atau pekerja PBT.
“Apakah anggaran kos pelaksanaan keseluruhan bagi memperkenalkan khidmat masyarakat ini, termasuk latihan, logistik dan pemantauan.
“Adakah kerajaan bercadang menyediakan dana khas kepada PBT untuk melaksanakan pengurusan operasi perintah khidmat masyarakat,” ujarnya lagi. – UMNO Online