Penambahbaikan Jalan Tawau Ke Semporna Perlu Melalui Kerajaan Negeri – Ahmad Maslan

KUALA LUMPUR, 22 Julai – Kementerian Kerja Raya mendapati jalan dari ‘check point’ Tawau ke Semporna adalah di bawah seliaan kerajaan negeri.

Demikian kata Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan yang memaklumkan sebarang cadangan penambahbaikan terhadap jalan tersebut hendaklah dikemukakan terus kepada kerajaan negeri untuk pertimbangan dan tindakan lanjut.

“Kementerian ini mengesyorkan sebarang cadangan penambahbaikan kepada jalan tersebut sewajarnya dikemukakan kepada kerajaan negeri Sabah untuk pertimbangan dan tindakan selanjutnya sementara bidang kuasa Kementerian Kerja Raya adalah bagi Jalan Persekutuan sahaja.

“Prosedur bagi permohonan projek membina jalan baharu atau menaiktaraf jalan persekutuan sedia ada adalah melalui kerajaan negeri berdasarkan senarai keutamaan negeri yang dikemukakan kepada Kementerian ini melalui penyelarasan antara Unit Perancang Ekonomi Negeri dan Jabatan Kerja Raya Negeri.

“Kementerian ini akan meneliti cadangan projek apabila ia dimohon oleh kerajaan negeri berdasarkan senarai keutamaan negeri dan akan diberi pertimbangan yang sewajarnya untuk diangkat kepada agensi pusat jika memenuhi keperluan teknikal untuk dilaksanakan, tertakluk kepada agihan peruntukan pembangunan kepada Kementerian ini,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab pertanyaan dari Ahli Parlimen Semporna, Datuk Seri Mohd Shafie Afdal yang meminta Menteri Kerja Raya menyatakan status permohonan pembesaran jalan raya daripada jalan dua lorong kepada empat dua hala dari check point Tawau-Semporna di bawah Rancangan Malaysia ke-13 dan adakah ianya akan diletakkan di bawah projek keutamaan Kementerian.

Pada masa yang sama Ahli Parlimen Pontian itu menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Semporna yang mahu mewujudkan kesinambungan rangkaian jalan Persekutuan dan menaiktaraf sesuatu batang jalan negeri menggunakan peruntukan Persekutuan.

“Permohonan pewartaan jalan negeri perlu diusulkan oleh pemohon melalui Jabatan Kerja Raya (JKR) Negeri kepada Ibu Pejabat JKR Malaysia. JKR Negeri dikehendaki menyemak status tanah jalan tersebut (sama ada dipajak/disewa kepada pihak lain) terlebih dahulu sebelum membuat permohonan kelulusan daripada Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN).

“Prosedur pewartaan jalan negeri perlu mendapatkan kelulusan daripada MMKN. Audit Kriteria Jalan akan dilaksanakan di peringkat Cawangan Selenggara Fasiliti Jalan (CSFJ, JKR) setelah menerima permohonan daripada JKR Negeri.

“Pewartaan jalan negeri akan diluluskan sepenuhnya setelah mendapat persetujuan daripada Menteri Kerja Raya,” ujarnya. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79