Asna Amin Prihatin Kebajikan Warga Orang Asli
KUALA LUMPUR, 22 Julai – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lenggeng, Datuk Mohd Asna Amin menzahirkan komitmen dalam menjaga kebajikan masyarakat setempat, khususnya komuniti Orang Asli.
Beliau yang juga Naib Ketua UMNO Bahagian Seremban, berkata, program serahan kad pengenalan baharu, penukaran kad pengenalan lama yang rosak serta pengeluaran sijil kelahiran lewat bagi anak-anak telah berlangsung di Balairaya Kampung Orang Asli Jeram Kedah, Lenggeng, baru-baru ini.
“Selesai program serahan kad pengenalan baharu dan penukaran kad pengenalan lama yang rosak serta sijil kelahiran lewat anak-anak yang diadakan di Balairaya Kg Orang Asli Jeram Kedah, Lenggeng.
“Program ini bertujuan memastikan hak dan kebajikan setiap warga tidak terpinggir khususnya dalam urusan dokumen rasmi negara,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.
Asna yang juga Pengerusi Biro Ekonomi UMNO Negeri Sembilan, menegaskan bahawa inisiatif tersebut adalah satu usaha penting bagi memastikan hak serta identiti masyarakat Orang Asli terus dipelihara dan diiktiraf.
“Inisiatif ini adalah bukti keprihatinan terhadap komuniti Orang Asli dalam memastikan hak identiti mereka diiktiraf dan diberi perhatian sewajarnya.
“Syabas dan tahniah kepada semua yang menjayakan program ini. Moga Allah membalas segala kebaikan dan keprihatinan anda dengan ganjaran yang berlipat ganda,” katanya lagi.
Turut hadir, Timbalan Pengarah Jabatan Pendaftaran Negeri (JPN) Negeri Sembilan, Ahmad Afiq Johari; Penolong Pengarah JPN Negeri Sembilan, Marshiela Salamat serta pasukan mobile JPN Mohamad Fauzi Ali.
Turut sama ialah Pegawai Kemajuan Orang Asli Daerah Seremban dan Port Dickson, Tok Batin Tijak Ucop, Tok Sam Anak Chen selaku Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Orang Asli (JPKKOA) Jeram Kedah, Pengerusi JPKK dan pegawai Pusat Khidmat Adun Lenggeng. – UMNO Online