Anak Muda Kinabatangan Perlu Dilibatkan Dalam Arus Ekonomi Hijau Negara
KINABATANGAN, 22 Julai – Pemuda UMNO Kinabatangan menyuarakan gesaan agar anak muda di kawasan itu diberikan perhatian serius dalam pelaksanaan agenda ekonomi hijau negara, selaras dengan Pelan Peralihan Tenaga Nasional (NETR) yang kini menjadi fokus utama kerajaan.
Menurut Ketuanya, Mohd Kurniawan Naim Moktar, walaupun Kinabatangan kaya dengan sumber semula jadi dan biodiversiti, anak muda di daerah itu masih belum mendapat akses mencukupi kepada latihan, kemahiran serta peluang pekerjaan dalam sektor ekonomi hijau seperti tenaga boleh baharu, pelancongan lestari dan pertanian pintar.
“Sebagai sebuah kawasan luar bandar yang memiliki banyak potensi, Kinabatangan sepatutnya menjadi antara penerima manfaat utama dalam pembangunan industri hijau seperti tenaga solar, ekopelancongan berasaskan komuniti dan teknologi pertanian moden. Namun, realitinya masih ramai belia belum mendapat ruang untuk terlibat secara langsung,” katanya dalam satu kenyataan berkaitan hal terbabit.
Jelas beliau, Pemuda UMNO Kinabatangan percaya bahawa masa depan anak muda perlu dipersiapkan dengan asas kukuh agar mampu bersaing dalam arus ekonomi baharu negara yang semakin mencabar dan berteraskan kelestarian.
Sehubungan itu, beliau menggesa kerajaan agar menyediakan peruntukan khas bagi melatih serta melibatkan anak muda Kinabatangan dalam pelbagai inisiatif berkaitan ekonomi hijau. Ini termasuk penyediaan akses kepada latihan teknikal, pendedahan kepada teknologi hijau dan peluang keusahawanan lestari.
Ujarnya, dalam usaha memperkasa peranan anak muda, Pemuda UMNO Kinabatangan turut merancang untuk menganjurkan program latihan kerjaya hijau di peringkat tempatan yang bertujuan memberi pendedahan kepada golongan belia mengenai potensi kerjaya dalam bidang tenaga boleh baharu, pelancongan lestari, dan teknologi pertanian moden.
“Kita tidak mahu anak muda Kinabatangan sekadar menjadi pemerhati kepada transformasi ekonomi negara. Kita mahu mereka menjadi pemain aktif, malah pemimpin dan pencetus perubahan dalam sektor hijau yang sedang berkembang pesat ini,” tegas beliau.
Tambahnya, Pemuda UMNO Kinabatangan komited untuk terus menjadi penggerak dan penghubung antara belia dan peluang pembangunan, demi memastikan anak muda tempatan tidak ketinggalan dalam arus kemajuan ekonomi negara yang lebih hijau dan mampan. – UMNO Online