ADUN Jeram Padang Sambut Saranan Presiden UMNO, Pemimpin Akar Umbi Tonggak Agenda Rakyat
KUALA LUMPUR, 22 Julai – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeram Padang, Datuk Mohd Zaidy Abdul Kadir menyambut penuh iltizam saranan Presiden UMNO merangkap Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi agar setiap pemimpin akar umbi memainkan peranan penting dalam menjayakan agenda rakyat dan negara.
Beliau berkata demikian mengulas berkaitan Taklimat dan Perjumpaan bersama Timbalan Perdana Menteri itu baru-baru ini yang menghimpunkan Ahli Dewan Negara, Ahli Dewan Rakyat dan Ahli Dewan Undangan Negeri dari seluruh negara.
“Saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada YAB Timbalan Perdana Menteri atas amanat beliau yang menyuntik semangat serta keyakinan terhadap komitmen pemimpin akar umbi BN untuk terus memperkukuh strategi dan hala tuju parti dalam menghadapi cabaran politik semasa,” ujar beliau.
Mohd Zaidy turut menyatakan bahawa keutuhan UMNO/BN terletak pada keupayaan pemimpinnya untuk terus relevan, responsif dan berjiwa rakyat.
Katanya, khidmat bakti yang berterusan, berlandaskan nilai keikhlasan dan tanggungjawab sosial, akan menjadi tonggak utama dalam memperkukuh kepercayaan rakyat terhadap perjuangan UMNO dan BN.
“Insya-Allah, saya akan terus menjadi jambatan antara rakyat dan kerajaan. Kita mahu pastikan tidak ada isu rakyat yang dipandang ringan, dan setiap usaha penambahbaikan dilakukan secara berfasa dan menyeluruh,” ujarnya lagi.
Beliau turut menegaskan komitmennya untuk terus berada di barisan hadapan dalam memastikan kesejahteraan rakyat, khususnya di kawasan Jeram Padang sentiasa menjadi keutamaan.
Merealitikan iltizam itu, beliau proaktif turut turun padang termasuk meninjau beberapa isu infrastruktur dan keselamatan awam yang dibangkitkan penduduk sebagaimana di Kampung Bukit Pilah dan Pekan Rompin baru-baru ini.
Katanya, antara isu yang dikenal pasti termasuk kerosakan jalan masuk ke Ladang Bukit Pilah, kabel telekom yang tergantung dan membahayakan serta susur jalan utama di hadapan Pejabat Pos Malaysia Pekan Rompin yang dikatakan mengelirukan pengguna jalan raya.
“Saya sudah memanjangkan isu-isu ini kepada pihak berkuasa yang berkaitan, dan saya menggesa agar tindakan segera diambil demi keselamatan dan kesejahteraan penduduk,” tegasnya.
Beliau menegaskan bahawa keberkesanan wakil rakyat di peringkat akar umbi amat penting dalam memastikan dasar serta agenda kerajaan dapat diterjemah kepada tindakan yang memberi manfaat langsung kepada rakyat. – UMNO Online