“Tak Banyak Alasan”: Pemuda UMNO Putrajaya Komited Santuni Warga Memerlukan
PUTRAJAYA, 21 Julai – Pemuda UMNO Bahagian Putrajaya terus mengorak langkah dalam usaha kebajikan melalui inisiatif bertemakan #TakBanyakAlasan, dengan menyantuni lebih 130 warga setempat dalam tempoh dua hari berturut-turut, melibatkan kawasan sekitar Presint 9 dan Presint 17.
Ketua Pemuda UMNO Bahagian Putrajaya, Dr Iqbal Munawwir Tengku Adnan, memaklumkan bahawa gerak kerja ziarah dan penyerahan bantuan melibatkan lebih 70 penduduk pada hari pertama, manakala baki 60 lagi disantuni pada hari kedua.
“Program berlangsung dalam suasana santai dan mesra, disertai pelbagai lapisan masyarakat termasuk warga emas, ibu tunggal dan keluarga kurang berkemampuan. Bantuan dilaksana dengan menyalurkan barangan keperluan asas yang disampaikan secara langsung kepada penerima malah menjadi bukti bahawa keprihatinan UMNO dan rasa tanggungjawab sosial kepada masyarakat di sini tidak pernah terhenti,” katanya kepada UMNO Online.
Ujarnya, dengan turun padang melawat dari rumah ke rumah serta kawasan komuniti maka pendekatan secara langsung dapat dilakukan malah meluangkan masa berbual serta mendengar sendiri rintihan dan harapan penduduk setempat.
“Kita tidak mahu banyak alasan untuk berkhidmat. Kalau benar-benar mahu membantu, turun padang dan buatlah yang terbaik. Ramai yang memerlukan, dan kehadiran kita adalah sebagai tanda sokongan serta semangat untuk mereka,” katanya.
Ujarnya, inisiatif “Tak Banyak Alasan” bukan sekadar program bantuan, tetapi menjadi lambang komitmen jangka panjang Pemuda UMNO Putrajaya untuk terus bersama rakyat tanpa mengira masa, musim atau situasi.
“Langkah ini juga mencerminkan pendekatan progresif, yang mendekati denyut nadi masyarakat secara tulus dan konsisten. UMNO sentiasa responsif dalam mendepani cabaran bersama rakyat, terutama dalam keadaan ekonomi yang menekan.
“Apatah lagi sokongan dan sambutan daripada komuniti setempat amat memberangsangkan khususnya dalam membantu golongan yang terpinggir dan memerlukan perhatian.”
Dengan semangat “Tak Banyak Alasan”, Dr Tengku Iqbal Munawwir menegaskan bahawa Pemuda UMNO Putrajaya akan terus memperluaskan gerak kerja kebajikan sebagai sebahagian daripada tanggungjawab sosial berterusan, bukan sekadar ketika menjelang pilihan raya, tetapi demi kesejahteraan rakyat Putrajaya secara menyeluruh. – UMNO Online