Puteri UMNO Kedah Junjung Kasih, Harap Titah Adendum Dilaksana Segera
KUALA LUMPUR, 18 Julai – Pergerakan Puteri UMNO Negeri Kedah menjunjung kasih atas kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong yang telah memperkenan Titah Adendum berhubung kes bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Ketuanya, Nuraini Yusoff berkata, setelah diperakui maka ia telah menjadi tanggungjawab untuk pihak kerajaan melaksanakannya secara terhormat.
“Pergerakan Puteri UMNO Negeri Kedah menjunjung kasih atas kebijaksanaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong yang telah memperkenankan Titah Adendum berhubung pelaksanaan baki hukuman Datuk Seri Najib Razak dalam bentuk penahanan di rumah.
“Kewujudan Titah Adendum ini bukan lagi satu persoalan andaian, tetapi suatu hakikat yang telah diperakui secara rasmi oleh pihak-pihak berkepentingan termasuk pimpinan tertinggi negara.
“Maka menjadi tanggungjawab kerajaan untuk memastikan pelaksanaannya dibuat secara terhormat, tanpa lengah dan berselindung di sebalik alasan teknikal atau tekanan politik,” katanya menerusi satu kenyataan.
Beliau yang juga Ketua Pergerakan Puteri UMNO Bahagian Kulim-Bandar Baharu berkata, kelewatan untuk melaksanakan Titah Adendum tersebut hanya akan mencemarkan kewibawaan institusi Diraja.
“Sehubungan itu, Pergerakan Puteri UMNO Negeri Kedah senada dengan Badan Perhubungan UMNO Negeri Kedah mendesak Kerajaan Persekutuan agar segera melaksanakan Titah Adendum ini tanpa berdolak-dalik dan tanpa tunduk kepada tekanan politik sempit.
“Kelewatan mahupun keengganan untuk melaksanakannya hanya akan mencemar kewibawaan institusi Raja dan mengundang kegelisahan dalam kalangan rakyat,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau turut menzahirkan kekesalan di atas tindakan pihak-pihak tertentu yang cuba mempertikaikan titah tersebut.
“Pergerakan Puteri UMNO Kedah turut menzahirkan rasa kesal terhadap pihak-pihak tertentu yang cuba mempertikaikan atau mempersendakan titah tersebut.
“Tindakan sebegini tidak mencerminkan adab terhadap Raja dan hanya memperlihatkan keangkuhan terhadap prinsip Raja Berperlembagaan yang menjadi asas sistem negara.
”Pergerakan Puteri UMNO Kedah kekal setia menjunjung titah Baginda dan berdiri teguh mempertahankan institusi Raja serta prinsip keadilan yang seimbang, berperikemanusiaan dan bebas daripada pengaruh politik kepartian,” katanya lagi.
Minggu lalu, Jabatan Peguam Negara (AGC) dilapor tidak mempertikaikan kewujudan Titah Adendum dikatakan titah Yang di-Pertuan Agong ke-16 yang membolehkan Najib menjalani baki hukuman penjara di bawah tahanan rumah.
Sebaliknya, AGC mempertikaikan prosedur untuk mengemukakan titah itu sebagai bukti baharu dalam permohonan semakan kehakiman Najib di Mahkamah Tinggi.
Najib yang sedang menjalani hukuman di Penjara Kajang sejak 23 Ogos 2022 selepas disabitkan kesalahan menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd, memfailkan petisyen untuk mendapatkan pengampunan diraja pada 2 September 2022.
Lembaga Pengampunan kemudiannya mengurangkan hukuman penjaranya daripada 12 tahun kepada enam tahun, manakala denda dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta. – UMNO Online