Pesta Gay Di Kelantan: Satu Penghinaan Terhadap Serambi Mekah – Saifullah Ali

KUALA LUMPUR, 18 Julai – Anak-anak muda Kelantan kini terpalit aib disebabkan pesta gay yang menjatuhkan maruah peribadi, malah turut mencalar nama baik seluruh generasi muda negeri ini, kata Exco Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Muhammad Saifullah Ali.

Ini kerana katanya, ia menimbulkan persoalan besar terhadap keberkesanan dakwah, penguatkuasaan moral, dan ketegasan kerajaan negeri dalam menangani gejala maksiat yang makin berleluasa.

“Sudah tiba masanya semua pihak sama ada pemerintah, agamawan atau masyarakat perlu bersatu menolak budaya ini. Jangan hanya gah di pentas ceramah, tetapi senyap bila maksiat berlaku depan mata.

“Pesta gay di Kelantan turut melibatkan penemuan kondom, ubat HIV amat mengejutkan dan memalukan. Ia bukan sekadar satu aktiviti songsang, malah satu penghinaan terhadap identiti negeri Kelantan yang sejak dahulu dikenali sebagai Serambi Mekah, negeri yang kaya dengan warisan Islam dan dipenuhi para ulama.

“Bagaimana perkara sebegini boleh berlaku di negeri yang dipimpin oleh parti politik atas nama Islam, yang sering melaungkan perjuangan agama dalam setiap ceramah dan dasar pentadbiran,” katanya menerusi satu hantaran kepada UMNO Online.

Tambah beliau, Kelantan bukan sekadar negeri biasa malah ia adalah lambang perjuangan Islam di Malaysia, dan kini tercalar dek budaya hedonisme yang semakin berani mencabar norma masyarakat.

Mengulas lanjut, Saifullah yang juga Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Pasir Puteh menyokong sepenuhnya usaha pihak polis yang bertindak menyiasat dan membanteras kegiatan ini.

“Tindakan segera ini perlu dipuji, dan harus diteruskan tanpa gentar, tanpa memilih bulu. Gejala songsang bukan sahaja merosakkan akhlak, malah mengundang risiko kesihatan seperti yang dibuktikan dengan penemuan ubat berkaitan dalam serbuan.

“Tidak ada lagi mana-mana wakil rakyat terutama dari pihak kerajaan negeri yang mengherdik usaha pihak polis dengan mengatakan mereka ini semberono dan bercakap tanpa data bila sesuatu laporan disampaikan,” tegasnya. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79