UMNO Tidak Akan Sesekali Khianati Janji Kepada Bangsa Melayu – Razlan
KUALA LUMPUR, 17 Julai – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Mohd Razlan Muhammad Rafii menegaskan bahawa UMNO tidak akan sesekali mengkhianati janjinya kepada bangsa Melayu meskipun bersama Kerajaan Perpaduan.
Ujarnya, tuduhan bahawa UMNO ‘menjual’ agama, bangsa Melayu dan mengetepikan prinsip perjuangan dibuat oleh pihak lawan untuk meracuni pemikiran rakyat.
“UMNO dituduh ‘menjual’ agama dan bangsa Melayu hari ini ketika bersama kerajaan Perpaduan. Tuduhan liar dan fitnah sebegini sudah berkali-kali dilemparkan untuk meracuni fikiran rakyat.
“Tidak mustahil ia akan memusnahkan kita sekali lagi pada masa akan datang sekiranya tidak ditangani dengan baik hari ini.
“UMNO memilih untuk bersama dalam Kerajaan Perpaduan bukan kerana hilang prinsip. Ada beberapa sebab yang sangat penting untuk kelangsungan negara dan masa depan orang Melayu ini sendiri,” katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya.
Jelasnya, UMNO mengambil keputusan untuk bersama dalam Kerajaan Perpaduan bagi mengelakkan negara terus terperangkap dalam kebuntuan politik kerana tiada satu parti pun menang secara majoriti pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15.
“Pertama, untuk mengelakkan negara terus terperangkap dalam kebuntuan politik selepas PRU ke-15. Kalau semua parti nak ego masing-masing, Malaysia boleh ‘stuck’ tak stabil bertahun-tahun.
“Kedua, UMNO nak memastikan ekonomi rakyat terus terjaga daripada harga barang keperluan, peluang pekerjaan sehinggalah pelaburan asing yang boleh memacu pertumbuhan.
“Selain itu, UMNO sedar bahawa kalau kita pilih untuk duduk di luar kerajaan dan membiarkan blok lain pegang kuasa sepenuhnya, suara Melayu dalam pentadbiran akan jadi semakin kecil. Fakta yang ramai malas nak fikir tetapi inilah realitinya,” katanya lagi.
Selain itu, beliau menegaskan bahawa pelbagai usaha telah dilakukan oleh UMNO/Barisan Nasional (BN) ketika bersama dengan Kerajaan Perpaduan dan ia langsung tidak mengetepikan kepentingan agama, bangsa serta tanah air.
“Contoh UMNO ‘jual bangsa’… pertama, dapat kembalikan semula Dasar Pendidikan Tahfiz Negara 2.0 yang telah dihentikan pada 2018. TVET (Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional) juga diperluas, memfokuskan anak-anak Melayu dan Bumiputera di samping kaum lain.
“Ketiga, dana Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan biasiswa Bumiputera ditambah lagi. Kawasan luar bandar terus menikmati projek pembangunan infrastruktur baru selain sektor ekonomi bumiputera terus diperkasa dengan Presiden UMNO diberi kepercayaan untuk menerajui Kongres Ekonomi Bumiputera (KEB).
“Di samping itu, kita (UMNO) turut diberi kepercayaan untuk menerajui dan memperkasakan kembali agensi seperti MARA, FELDA, Tabung Haji, FELCRA dan Yayasan-Yayasan Melayu atau Bumiputera,” katanya lagi.
Mengulas lanjut, beliau menegaskan bahawa dengan sedikit kuasa yang diperoleh ketika bersama Kerajaan Perpaduan telah digunakan sepenuhnya untuk memastikan agenda memperkasa Melayu dan bumiputera terlaksana dengan baik.
“Ini adalah sedikit perkara yang sedang diperjuangkan dan berjaya kita realisasikan dengan kuasa yang ada… tetapi digunakan sepenuhnya untuk memastikan agenda memperkasa Melayu dan Bumiputera terus terlaksana dengan baiknya.
“Jika UMNO tak jadi ‘kingmaker’ dan berperanan dalam kerajaan, belum tentu agenda Melayu dapat dipertahankan sekuat sekarang. Daripada kita duduk tepuk tangan di luar, lebih baik kita duduk di dalam untuk memastikan bangsa sendiri tidak jadi sekadar penonton.
“UMNO tidak akan sesekali mengkhianati janji kepada bangsa Melayu,” tegasnya. – UMNO Online