SWP Sokong Titah Adendum, Seru Pelaksanaan Secara Tertib
KUALA LUMPUR, 17 Julai – Sekretariat Wanita Profesional (SWP) menjunjung kasih dan merakamkan setinggi-tinggi penghargaan atas pengesahan oleh pihak Peguam Negara berhubung kewujudan Titah Adendum yang memperkenankan penahanan rumah ke atas bekas Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Abdul Razak.
Pengerusinya, Dr Masliha Harun berkata, pihaknya menyokong penuh kenyataan rasmi Ketua Wanita UMNO Malaysia, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad, yang menzahirkan sokongan terhadap pelaksanaan titah tersebut.
“SWP menyokong penuh kenyataan rasmi Ketua Wanita UMNO Malaysia, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad, yang menzahirkan sokongan terhadap pelaksanaan titah tersebut, selaras dengan kuasa budi bicara Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong (YDPA) seperti termaktub dalam Perkara 42(1) Perlembagaan Persekutuan.
“Kami menyeru pihak kerajaan agar melaksanakan titah ini dengan penuh tertib, hormat dan berdasarkan lunas perundangan negara, demi menjunjung keluhuran institusi Raja-Raja Melayu dan menjamin keadilan kepada semua rakyat, tanpa prejudis.
“Sekretariat Wanita Profesional juga kekal komited memperjuangkan prinsip keadilan, kemanusiaan serta menjunjung tinggi kedaulatan undang-undang dan sistem Raja Berperlembagaan,” katanya menerusi satu kenyataan.
Minggu lalu, Jabatan Peguam Negara (AGC) dilapor tidak mempertikaikan kewujudan Titah Adendum dikatakan titah Yang di-Pertuan Agong ke-16 yang membolehkan Najib menjalani baki hukuman penjara di bawah tahanan rumah.
Sebaliknya, AGC mempertikaikan prosedur untuk mengemukakan titah itu sebagai bukti baharu dalam permohonan semakan kehakiman Najib di Mahkamah Tinggi.
Najib yang sedang menjalani hukuman di Penjara Kajang sejak 23 Ogos 2022 selepas disabitkan kesalahan menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd, memfailkan petisyen untuk mendapatkan pengampunan diraja pada 2 September 2022.
Lembaga Pengampunan kemudiannya mengurangkan hukuman penjaranya daripada 12 tahun kepada enam tahun, manakala denda dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta. – UMNO Online