PRN Sabah: Bawa Politik Waras… Tanpa Hina, Fitnah

KUALA LUMPUR, 17 Julai – Semua pihak digesa untuk membawa politik yang waras dengan tidak menghina, memfitnah dan menjatuhkan maruah sesiapa lebih-lebih lagi apabila menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah tidak lama lagi.

Setiausaha UMNO Sabah, Datuk Jafry Ariffin berkata, beliau menghormati pendirian dan meraikan perbezaan pendapat rakan-rakan yang menyokong parti berbeza seperti Warisan dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

“Saya hormat pendirian saudara dan kawan-kawan yang menyokong parti berbeza termasuk Warisan serta GRS.

“Saya raikan perbezaan pendapat kerana itu hak dan tanda kita matang serta celik politik.

“Apa yang lebih penting, kita bawa politik yang waras… tanpa hina, fitnah dan jatuhkan maruah sesiapa,” katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sukau turut menegaskan bahawa Sabah adalah milik semua, bukan segelintir sahaja.

“Kita boleh tidak setuju tapi jangan bermusuh. Kita bina politik kawan bukan politik dendam.

“Kita boleh bersaing tetapi biarlah dengan adab dan ilmu. Kita saling menghormati pendirian dan pilihan masing-masing.

“Ini kerana hakikatnya, kita semua berkongsi impian yang sama… iaitu ingin melihat Negeri Sabah ini terus maju, adil dan makmur. Ingat, Sabah adalah untuk semua bukan untuk segelintir,” katanya. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79