Pemuda UMNO Mesti Jadi Juara Suara Rakyat – Azman Azeez

BALING, 17 Julai – Exco Pergerakan Pemuda UMNO, Mohamad Khairul Azman Abdul Azez menegaskan bahawa Pemuda UMNO perlu memainkan peranan lebih aktif dalam membawa suara rakyat dan bukan sekadar mengikut telunjuk tokoh-tokoh besar parti.

Menurutnya, rakyat hari ini mendambakan pemimpin yang benar-benar mendengar dan menyuarakan keluhan mereka di peringkat akar umbi.

“Rakyat mahu ahli parti bawa suara mereka. Kita perlu menjadi juara suara rakyat dan bukannya kepada tokoh-tokoh besar dan sebab itu segalanya bermula di sini dan Pemuda UMNO menjadi pemangkin suara itu dan boleh menilai.

“Kita lihat Ketua Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh yang tidak jemu-jemu membawa suara rakyat dan ini adalah contoh yang harus dibawa di sini khususnya di Baling. Kita harus menjadi juara rakyat dan Insya-Allah, UMNO boleh kembalikan suara rakyat.

“Kita kena terima realiti bahawa UMNO bukanlah seperti UMNO yang dahulu, kedudukan parti ini kena terima hakikat bahawa kita berada di tempat paling bawah dalam sejarah politik,” katanya ketika berucap dalam Mesyuarat Perwakilan Pemuda UMNO Bahagian Baling, di Stor Logistik, Kampung Telok Durian, Kupang, di sini baru-baru ini.

Turut hadir Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO merangkap Ketua UMNO Bahagian Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mahkota merangkap Exco Pemuda UMNO, Syed Hussien Syed Abdullah serta ahli Pemuda UMNO Baling.

Azman yang juga Ketua Pemuda UMNO Bahagian Baling berkata pendekatan ahli parti dalam membawa suara rakyat perlu diberi keutamaan bagi memastikan perjuangan UMNO terus relevan.

“Jangan kita leka walaupun UMNO dalam Kerajaan Perpaduan, tapi kena terima hakikat bahawa UMNO memerlukan perubahan. Parti ini mahu cara pendekatan ahli parti membawa suara rakyat.

“Dengan semangat dan keberanian Pemuda UMNO, parti itu mampu mengembalikan keyakinan rakyat terhadap perjuangan UMNO sebagai parti keramat orang Melayu,” katanya lagi.

Pada masa sama kata Azman, walaupun ada pihak yang masih skeptikal terhadap Kerajaan Perpaduan dengan menyebut istilah ‘UMDap’, Pemuda UMNO tidak gentar dan tetap berpegang kepada garis panduan yang telah dipersetujui bersama.

“Ramai yang di bawah masih menyatakan ‘UMDap’. Buat apa nak risau walaupun mereka cuba ‘langgar’ garis panduan yang ditetapkan dalam Kerajaan Perpaduan.

“Sekiranya mereka usik agama, bangsa dan Raja-raja Melayu, maka Pemuda UMNO yang pertama akan lawan sehabis-habisnya. Ini adalah prinsip Pemuda UMNO, tidak pernah goyah daripada dulu,” jelasnya.

Ujarnya, Pemuda UMNO akan terus menjadi benteng utama dalam mempertahankan maruah perjuangan bangsa dan tidak akan berkompromi jika ada pihak yang cuba mencabarnya. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79