ADUN Asahan Pastikan Tiada Anak Tercicir Pendidikan Hanya Kerana Kekangan Kewangan

KUALA LUMPUR, 17 Julai – Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital Negeri Melaka Datuk Fairul Nizam Roslan bersyukur dapat menyampaikan sumbangan pendidikan kepada murid-murid sekolah rendah dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Asahan pagi tadi.

Fairul Nizam yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Asahan berkata, usaha ini selaras dengan komitmen untuk memastikan tiada anak-anak yang tercicir dalam pendidikan hanya kerana kekangan kewangan.

“Sumbangan ini melibatkan bantuan daripada Yayasan Pendidikan MARA (YPM) kepada murid-murid Bumiputera daripada keluarga B40 dan sumbangan daripada pihak JAPERUN Asahan kepada murid-murid bukan Bumiputera daripada keluarga B40.

“Semoga sumbangan ini menjadi pembakar semangat buat anak-anak agar terus cemerlang dalam pelajaran, membanggakan keluarga serta memberi sumbangan bermakna kepada negeri dan negara,” kata Fairul Nizam yang juga Ketua UMNO Bahagian Alor Gajah dalam satu hantaran di Facebook.

Berlangsung di Institut Latihan Perindustrian (ILP) Selandar, Melaka, dalam majlis tersebut Fairul Nizam menitipkan nasihat dan pesanan buat pelajar-pelajar agar terus rajin belajar, menjaga adab, menghormati ibu bapa dan guru, serta menanam cita-cita yang tinggi demi masa depan yang lebih cerah dan gemilang.

“Kepada ibu bapa, saya menyeru agar terus memberikan sokongan moral, kasih sayang dan bimbingan berterusan kepada anak-anak.

“Sokongan ibu bapa adalah asas kejayaan dan kekuatan mereka untuk terus melangkah jauh dalam kehidupan,” tambahnya lagi.

Fairul Nizam juga merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada barisan kepimpinan masyarakat DUN Asahan, guru-guru serta ibu bapa yang hadir dan sentiasa memberi dorongan kepada anak-anak.

Begitu juga katanya kepada Pihak ILP Selandar di atas kesudian menyediakan kemudahan tempat bagi menjayakan program ini dan YPM atas inisiatif murni dalam membantu meringankan beban keluarga B40 dan memberi peluang pendidikan yang lebih luas kepada anak-anak.

“Insya-Allah, dengan semangat kebersamaan dan sinergi yang kukuh ini, kita mampu melahirkan generasi DUN Asahan yang lebih hebat, berilmu dan berdaya saing,” katanya. – UMNO ONLINE

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79