UMNO Terus Diperkasa, Fokus Perkukuh Parti Demi Masa Depan Negara – Tengku Azman

KUALA LUMPUR, 16 Julai – Ketua UMNO Bahagian Bukit Bintang, Datuk Tengku Azman Tengku Zainol Abidin menegaskan bahawa UMNO kekal relevan dan masih utuh hingga kini kerana berpegang kepada disiplin perjuangan serta semangat setia akar umbi walaupun pelbagai cabaran dan tohmahan dilemparkan terhadap parti khususnya selepas Pilihan Raya Umum (PRU) 2018.

beliau berkata, UMNO terus bertahan kerana tidak tunduk pada retorik, tidak terpesona dengan gelombang populariti dan kekal berpegang kepada prinsip perjuangan demi agama, bangsa dan negara.

“UMNO tidak pernah lenyap seperti yang diwar-warkan. Kita masih teguh kerana memilih disiplin perjuangan dan tolak politik beremosi,” katanya kepada UMNO Online.

Beliau turut menjelaskan UMNO menyertai Kerajaan Perpaduan bukan kerana mahu selesa, tetapi atas titah Yang di-Pertuan Agong demi kestabilan negara.

Katanya, itupun UMNO meletakkan syarat penting sebelum bersetuju menyertai kerajaan, termasuk mempertahankan kedudukan Islam, hak Melayu, Raja-Raja dan Bahasa Melayu.

“Dokumen persefahaman ini mengikat semua parti termasuk Dap untuk menghormati agenda Melayu-Islam. UMNO tidak tunduk, malah kita tetapkan garis panduan yang dihormati,” tegasnya.

Tengku Azman juga mengingatkan bahawa UMNO bukan seperti parti lain yang sanggup menggadai prinsip demi kuasa politik, malah beliau menempelak pihak lawan termasuk PPBM dan Pas yang menurutnya bergabung bersama Dap demi menumbangkan kerajaan terdahulu.

Mengulas pencapaian semasa, beliau berkata walaupun UMNO hanya memiliki 30 kerusi parlimen selepas PRU15, parti itu menjadi penentu pembentukan kerajaan dan kini memainkan peranan penting dalam pentadbiran negara.

Beliau turut menyatakan keyakinan bahawa UMNO mampu bangkit semula menjelang PRU16 dengan gerak kerja tersusun dan strategi dilaksanakan dengan berkesan.

Ujarnya, di Bahagian Bukit Bintang, walaupun diketahui bukanlah penyumbang kepada kerusi parti kerana faktor demografi, tetapi semua ahli tetap berjuang dan memainkan peranan memperkuat UMNO.

“Kami mungkin tak boleh menang kerusi, tetapi kami boleh memenangkan pilihan raya,” katanya.

Antara langkah proaktif yang dilaksana ialah pengaktifan Jabatan Pengundi Luar untuk menyantuni pengundi-pengundi di Kuala Lumpur yang berasal dari luar kawasan.

Tengku Azman turut memberi penekanan terhadap disiplin parti serta menasihatkan ahli agar tidak mudah percaya dan menyebar fitnah yang akhirnya melemahkan parti dari dalam.

“Fitnah dan serangan luar bukan bahaya sebenar, yang lebih bahaya ialah bila kita sendiri jadi agen perpecahan,” tegasnya.

Beliau juga menyeru semua pihak untuk meremajakan parti dengan memberi ruang dan bimbingan kepada golongan muda agar mereka mampu menjadi pelapis kepimpinan yang beradab, berilmu dan berjiwa besar. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79