Titah Adendum YDPA Mesti Dilaksanakan Tanpa Dolak-dalik Atau Alasan Politik

KUALA LUMPUR, 16 Julai – Ketua Penerangan Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Mohammad Sollehin Mohamad Tajie menegaskan bahawa Titah Adendum oleh Yang di-Pertuan Agong (YDPA) mesti dilaksanakan tanpa dolak-dalik atau alasan politik.

Katanya ini kerana sebarang keengganan adalah lambang penderhakaan kepada institusi Raja-Raja Melayu.

“Pemuda UMNO akan terus menjadi benteng mempertahankan kedaulatan Raja, keluhuran Perlembagaan, dan prinsip negara berdaulat.

“Kita tidak akan berdiam diri apabila ada pihak yang mencabar asas negara ini,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Bukit Gantang berkata tindakan mempertikaikan titah ini, khususnya oleh Ahli Parlimen Kepong Lim Lip Eng sangat dikesali dan dilihat sebagai cubaan memperlekeh institusi Raja serta mencabar asas Perlembagaan negara.

Menurut beliau, ini bukan soal kehendak UMNO atau cadangan politik semata-mata sebaliknya titah Raja yang telah diperakui melalui saluran sah dan rasmi negara.

“Adakah Lim mahu meletakkan dirinya lebih tinggi daripada kuasa Yang di-Pertuan Agong?

“Jika benar, maka beliau dan mana-mana pihak yang sehaluan dengannya wajar diberi teguran keras dan pendidikan semula mengenai asas kenegaraan Malaysia,” ujar beliau.

Terdahulu, Jabatan Peguam Negara tidak mempertikaikan kewujudan perintah tambahan diraja iaitu Titah Adendum yang didakwa membolehkan Najib menjalani baki hukuman penjaranya di bawah tahanan rumah.

Pada 6 Januari, Mahkamah Rayuan dalam keputusan majoriti memutuskan agar kes semakan kehakiman berkaitan dakwaan kewujudan perintah tambahan yang membolehkan Datuk Seri Najib Tun Razak menjalani tahanan rumah dibicarakan semula di Mahkamah Tinggi.

Keputusan itu sekali gus mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi yang sebelum ini menolak permohonan Najib untuk mendapatkan kebenaran memulakan semakan kehakiman. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79