Tabika Tunas Istimewa KEMAS Dukung Pendidikan Awal Anak Istimewa – Rais

KUALA lUMPUR, 16 Julai – Exco Kanan Kerajaan Melaka, Datuk Rais Yasin melihat pelaksanaan Tabika Tunas Istimewa KEMAS adalah salah satu usaha penting pendidikan awal kamak-kanak istimewa.

Menurut beliau usaha berkenaan amat perlu dalam mendukung pendidikan awal anak-anak yang istimewa selaras dengan aspirasi Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) untuk memperkukuhkan pembangunan komuniti luar bandar.

“Alhamdulillah, saya telah hadir menyambut kedatangan Datuk Hajah Rubiah Wang, Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) dalam lawatan kerja beliau ke Negeri Melaka.

“Lawatan ini telah berlangsung di Tabika Tunas Istimewa KEMAS Hang Jebat, Taman Krubong Jaya. Pada lawatan ini telah diadakan sesi taklimat dan penerangan berhubung pelaksanaan Tabika Tunas Istimewa KEMAS Hang Jebat yang merupakan tabika KEMAS untuk anak-anak autisme yang pertama beroperasi di Malaysia,” katanya kepada UMNO Online.

Kata Rais lagi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Rumput program ini turut memberi ruang kepada beliau untuk bertukar pandangan bersama pihak kementerian mengenai keperluan dan penambahbaikan Tabika dan TASKA KEMAS di Melaka, khususnya di Parlimen Tangga Batu.

“Terima kasih Datuk Rubiah diatas kesudian singgah ke DUN Paya Rumput. Kehadiran beliau mencerminkan komitmen kerajaan dalam memperkukuh pendidikan awal kanak-kanak,” ujarnya. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79