Semangat Akar Umbi Luar Biasa, Persidangan Medan Kukuhkan Gerak Kerja – SUA

KUALA LUMPUR, 16 Julai – Setiausaha Agung UMNO Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki mengagumi semangat ahli akar umbi khususnya perwakilan sepanjang berlangsung persidangan bahagian dan juga cawangan.

Katanya, ia merupakan satu perkembangan yang amat positif di samping inti perbahasan dan usul yang bernas diutarakan akan diangkat ke negeri dan seterusnya ke Perhimpunan Agung UMNO kelak.

“Semangat akar umbi kepada UMNO cukup luar biasa. Perbincangan-perbincangan, perbahasan-perbahasan, usul-usul yang dibangkitkan oleh cawangan juga amat bernas yang sudah tentu usul-usul ini akan dibawa ke peringkat negeri untuk diangkat ke Perhimpunan Agung UMNO nanti.

“Saya mengharapkan usul-usul akar umbi akan diberikan keutamaan supaya suara akar umbi akan menjadi asas dan panduan kepada hala tuju UMNO masa-masa akan datang,” kata Dr Asyraf yang juga Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA) kepada UMNO Online.

Dr Asyraf ditemui baru-baru ini sebaik sahaja selesai merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Kubang Pasu, di Dewan Seri Perdana, Jitra.

Jelasnya lagi, paling penting Perhimpunan Agung UMNO pada kali ini merupakan satu wadah untuk parti memperhalusi gerak kerja bagi menghadapi pilihan raya-pilihan raya yang bakal tiba.

“Sebenarnya kita sudah pun masuk ke garis masa berlangsungnya pilihan raya-pilihan raya (negeri) bermula dengan Sabah, kemudian Melaka, Johor dan akhirnya Pilihan Raya Umum.

“Maknanya bermula daripada dua tiga bulan ini sehinggalah ke tahun hadapan, hakikatnya jentera parti akan banyak berkisar kepada soal pilihan raya.

“Jadi dalam konteks ini kita mementingkan bukan sahaja semangat itu harus kita pertahankan, tetapi yang paling penting gerak kerja menghadapi pilihan raya yang perlu diberikan perhatian,” katanya lagi.

Mesyuarat Perwakilan UMNO bahagian-bahagian bagi seluruh negara telah bermula pada 9 Jun lalu dan dijadualkan berakhir akhir bulan ini.

Terdahulu, telah berlangsung persidangan UMNO cawangan-cawangan pada 7 April hingga 25 Mei lalu.

Manakala Perhimpunan Agung UMNO bagi tahun ini dijadualkan akan diadakan pada 26 hingga 29 November tahun ini.- UMNO ONLINE

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79