Pemuda UMNO Tegas Pertahan Kuasa Raja, Kecam Pihak Persoal Titah Adendum
KUALA LUMPUR, 16 Julai – Exco Pemuda UMNO Malaysia, Shah Zanuriman Nuar Paras Khan menegaskan bahawa Pemuda UMNO tidak akan berdiam diri sekiranya kuasa Raja diperlekehkan oleh mana-mana pihak.
Menurutnya, Pemuda UMNO tidak akan berkompromi apabila asas Perlembagaan negara cuba diganggu dan tidak akan tunduk terhadap sebarang cubaan mencabar tonggak negara secara terbuka.
“Kami berdiri di barisan hadapan untuk mempertahankan institusi Raja-Raja. Kami akan pastikan titah yang sah diperkenan dilaksanakan dengan segera. Kami akan jadi suara yang lantang menentang sebarang cubaan memperlekeh kuasa Raja dan mencabar kesucian undang-undang negara.
“Kepada sesiapa yang masih tidak jelas, ini bukan perjuangan untuk menyelamatkan individu. Ini adalah perjuangan untuk menegakkan prinsip. Prinsip bahawa titah tidak boleh dipersoalkan, prinsip bahawa institusi Raja-Raja mesti dipertahan dan juga prinsip bahawa Perlembagaan adalah asas kedaulatan negara,” katanya kepada UMNO Online.
Shah Zanuriman yang juga Ketua Pemuda UMNO Bahagian Selayang berkata sewajarnya Peguam Negara, Tan Seri Mohd Dusuki Mokhtar yang mengesahkan kewujudan titah tersebut tiada alasan untuk menangguh pelaksanaannya.
“Ia bukan lagi soal andaian atau khabar angin dan sudah diperakui sendiri oleh pihak tertinggi dalam sistem perundangan negara. Peguam Negara yang mengesahkan bahawa titah itu wujud, maka tiada sebab dan tiada alasan untuk menangguh atau mempertikai pelaksanaannya, ini bukan ruang untuk berdalih.
“Titah Raja bukan hiasan dalam sistem Raja Berperlembagaan. Ia adalah kuasa sah yang termaktub dalam Perlembagaan. Ada pihak yang berani menyoal atau mempersenda kewajaran pelaksanaan titah seolah-olah memberi gambaran bahawa institusi Raja boleh dirunding, boleh dibahaskan sesuka hati dan boleh diabaikan mengikut kepentingan politik masing-masing,” katanya lagi.
Tambah beliau lagi, kenyataan Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng seolah-olah cuba menanam persepsi negatif bahawa Titah Adendum hanyalah agenda UMNO.
“Saya kesal dengan kenyataan Lip Eng yang secara terbuka mempertikai kedudukan Titah Adendum ini. Beliau seolah-olah cuba membina persepsi bahawa ini hanyalah kehendak politik UMNO semata-mata sedangkan ia adalah titah rasmi daripada YDPA.
“Pelaksanaan titah tidak sepatutnya dijadikan bahan retorik politik. Kenyataan beliau mencerminkan keangkuhan terhadap institusi Raja dan kejahilan terhadap semangat Perlembagaan,” jelasnya.
Persoalannya, katanya, adakah beliau fikir kedudukannya sebagai wakil rakyat memberi lesen untuk mencabar keputusan dan perintah seorang Raja?
“Adakah beliau fikir suara politik lebih tinggi daripada kuasa yang diperuntukkan oleh Perlembagaan kepada YDPA?” soalnya lagi. – UMNO Online