Mohd Rafi Hargai Peranan Wanita UMNO, Komitmen Tinggi Dalam Perjuangan
KUALA LUMPUR, 16 Julai – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO Datuk Mohd Rafi Ali Hassan melihat peranan serta komitmen Wanita UMNO cukup tinggi di samping jentera parti yang lain.
Beliau yang berkesempatan merasmikan Mesyurat Wanita UMNO di beberapa bahagian termasuk yang terbaru Wanita UMNO Kota Melaka Jumaat lalu melihat sumbangan ‘tudung merah’ terhadap perjuangan UMNO cukup tinggi.
“Saya telah diberi kesempatan untuk hadir dan merasmikan lebih 15 mesyuarat perwakilan wanita UMNO di pelbagai bahagian seluruh negara. Kehadiran saya bukan sekadar memenuhi jemputan, tetapi lahir daripada penghargaan mendalam terhadap jasa dan peranan besar ‘tudung merah’, iaitu Wanita UMNO, dalam menggerakkan kekuatan parti sejak dahulu lagi,” katanya kepada UMNO-Online.
Mohd Rafi yang juga Ketua UMNO Labuan seterusnya menambah Wanita UMNO bukan sekadar pelengkap struktur organisasi, tetapi adalah tenaga penggerak yang sentiasa berada di hadapan, lebih-lebih lagi menjelang pilihan raya.
“Sebagai Ketua UMNO Bahagian Labuan, saya sendiri menyaksikan bagaimana majoriti kekuatan yang ada di bahagian saya datangnya daripada wanita UMNO. Tidak kira usia ada yang sudah berumur 76 tahun masih aktif sebagai Ketua cawangan, dengan semangat juang yang luar biasa, Alhamdulillah,” tambahnya.
Tambahnya lagi sejak dahulu hinggalah ke hari ini walaupun pemimpin parti saling bertukar ganti, namun UMNO tetap meneruskan perjuangannya dan hakikat berkenaan adalah kerana tunjang parti yang masih kuat.
“Daripada dulu, pemimpin silih berganti, tetapi parti ini kekal utuh. Kerana kekuatannya datang daripada akar rumbi di peringkat cawangan, di peringkat bahagian, negeri sehinggalah di peringkat pusat.
“Dan kekuatan di peringkat akar umbi ini sudah pastinya tulang belakangnya, tunjangnya adalah wanita UMNO bersama jentera parti yang lain… Alhamdulillah.” – UMNO Online