Malaysia Tawar Diri Sebagai Hab Eksport Halal ASEAN-Ocenia
WELLINGTON, 16 Julai – Malaysia menyatakan kesediaan untuk menjadi hab pengedaran utama produk halal dari New Zealand ke pasaran ASEAN, selaras dengan usaha memperkukuh ekosistem halal serantau dan global, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Majlis Pembangunan Industri Halal Malaysia (MPIH) berkata, dua organisasi halal di New Zealand telah menerima pengiktirafan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan boleh memainkan peranan penting dalam memacu eksport produk halal rantau itu.
“Saya telah menjemput pemain industri halal New Zealand untuk menyertai MIHAS (Pameran Halal Antarabangsa Malaysia) Disember ini.
“Pada masa itu, kita akan mengumumkan penubuhan Majlis Halal ASEAN dan juga ASEAN Campur Tiga bagi menyelaras piawaian pensijilan halal serantau,” katanya pada sidang media selepas Forum Halal dan Minum Teh Bersama Menteri Biosekuriti dan Keselamatan Makanan New Zealand Andrew Hoggard di sini pada Rabu.
Selain itu, beliau berkata, pendekatan lain turut diambil bagi membuka laluan kepada New Zealand menembusi pasaran Asia Tenggara melalui Malaysia, antaranya dengan memberikan pengiktirafan halal kepada organisasi negara Oceania itu.
“Saya ambil peluang keberadaan di Wellington (New Zealand) untuk memberi tekanan kolaborasi antara Malaysia dan New Zealand. Tekanan saya berikan adalah mengenai promosi produk halal dari negara ASEAN ke Asia Pasifik.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata, kerjasama berkenaan penting dalam menyokong pertumbuhan pasaran halal global yang diunjur mencecah USD5 trilion menjelang 2050, dengan Malaysia menyasarkan sekurang-kurangnya lima peratus pegangan pasaran dunia.
Beliau berkata, industri halal perlu diperluas merangkumi bukan sahaja sektor makanan dan minuman, malah sektor kosmetik, produk farmaseutikal, perbankan Islam, insurans, vaksin, gelatin dan banyak lagi.
“Halal bukan hanya untuk umat Islam, tetapi merupakan simbol kebersihan, kualiti dan kesihatan yang boleh diterima secara universal,” katanya.
Ahmad Zahid berkata, Halal Development Corporation (HDC) akan mencadangkan penubuhan Suruhanjaya Pembangunan Halal Malaysia sebagai pelengkap kepada Majlis Halal ASEAN manakala pengaktifan semula Majlis Halal Dunia sedang diusahakan bersama negara anggota Majlis Kerjasama Teluk (GCC).
Sementara itu, Ahmad Zahid berkata, syarat ketat permohonan pensijilan halal tidak lagi menjadi kekangan kepada syarikat New Zealand kerana JAKIM telah memberi kuasa kepada dua organisasi halal di negara berkenaan.
“Namun, JAKIM akan terus mengadakan pengauditan dari semasa ke semasa supaya piawaian ini diikuti. Kita tidak nampak sebarang permasalahan kerana pagi tadi saya adakan perbincangan dengan dua persatuan yang telah memproleh pensijilan halal dari JAKIM dan DVS (Jabatan Perkhidmatan Veterinar),” katanya.
Pada tahun lepas, nilai eksport New Zealand ke Malaysia melebihi NZD60 juta (RM151 juta) membabitkan produk daging halal premium.
Dalam forum itu, Ahmad Zahid turut menyaksikan pertukaran Surat Hasrat (LoI) antara Universiti Kuala Lumpur (UniKL) dan University of Canterbury (UC), yang menumpukan usaha pengukuhan kerjasama dalam bidang kejuruteraan kimia dan proses, teknologi makanan halal dan pembangunan lestari. – BERNAMA