Malaysia, New Zealand Setuju Kukuh Kerjasama Dalam Industri Halal

WELLINGTON, 16 Julai – Malaysia dan New Zealand bersetuju untuk memperkukuh kerjasama dalam industri halal global melalui beberapa langkah strategik termasuk penyelarasan piawaian pensijilan, usaha penyelidikan bersama dan penambahbaikan kerangka jaminan halal.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, yang sedang dalam lawatan kerja selama lima hari ke negara kepulauan itu berkata, kerjasama berkenaan penting bagi mengekalkan integriti dan kebolehpasaran produk halal di peringkat antarabangsa, sejajar dengan permintaan global yang meningkat daripada pengguna Muslim.

“Forum ini amat signifikan kerana ia membolehkan kedua-dua negara meneroka peluang baharu untuk memperkukuh ekosistem halal melalui pendekatan yang inklusif dan saling melengkapi,” katanya semasa Forum Halal dan Majlis Minum Petang bersama Menteri Biosekuriti dan Keselamatan Makanan New Zealand, Andrew Hoggard di sini pada Rabu.

Majlis yang diadakan di Perpustakaan Negara New Zealand itu turut dihadiri wakil kanan industri dan agensi kerajaan dari kedua-dua negara.

Ahmad Zahid, yang juga Pengerusi Majlis Pembangunan Industri Halal Malaysia (MPIH) berkata, penyertaan Malaysia pada Fieldays 2025 iaitu pameran pertanian terbesar di Hemisfera Selatan, mencerminkan komitmen negara untuk memperluaskan kerjasama antarabangsa dalam sektor pertanian dan halal.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada dua badan pensijilan halal yang diiktiraf di New Zealand iaitu Persekutuan Persatuan Islam New Zealand (FIANZ) dan Amanah Pembangunan Islam New Zealand (NZIDT) atas usaha berterusan mereka dalam memastikan pematuhan piawaian halal yang selaras dengan keperluan Malaysia.

“Kerjasama ini lebih daripada sekadar penyelarasan teknikal. Ia melambangkan penghormatan bersama terhadap nilai agama dan budaya dalam ekosistem perdagangan global,” katanya.

Ahmad Zahid berkata, Malaysia mengalu-alukan penyertaan syarikat dan agensi dari New Zealand dalam Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) akan datang, sebagai sebahagian daripada usaha mempertingkatkan perdagangan dua hala dalam sektor halal.

Sementara itu, Hoggard berkata, Malaysia kekal sebagai pasaran penting bagi eksport daging halal New Zealand yang melebihi NZ$60 juta tahun lepas.

“Malaysia sedang memudahkan proses kelulusan bagi beberapa premis daging halal di New Zealand yang sedang memohon akses pasaran buat kali pertama. Ini adalah langkah penting untuk memperluaskan eksport halal kami,” katanya.

Dengan populasi melebihi 35 juta orang, Hoggard berkata, pasaran Malaysia menawarkan potensi pertumbuhan yang kukuh.

Beliau berkata, keperluan eksport halal yang telah disemak semula memberikan kejelasan yang lebih baik kepada pengeluar New Zealand dalam aspek seperti pendaftaran, pemprosesan, dokumentasi, pembungkusan dan penyimpanan.

“New Zealand komited sepenuhnya terhadap kerjasama erat dengan Malaysia dan dalam menyampaikan produk halal berkualiti tinggi kepada pasaran utama ini,” katanya.

Ahmad Zahid, yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, sedang dalam lawatan kerja lima hari ke New Zealand yang berakhir pada Jumaat ini. – Bernama

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79