KPWKM Terus Komited Tangani Keganasan Rumah Tangga – Noraini
KUALA TERENGGANU, 16 Julai – Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) menegaskan komitmen berterusan dalam menangani isu keganasan rumah tangga melalui pelaksanaan program berfokuskan pencegahan, perlindungan dan pemulihan.
Timbalan Menterinya, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad berkata, usaha ini termasuk program Aku Wanita@KRT, yang menyasarkan peningkatan kesedaran masyarakat, khususnya di Terengganu, terhadap isu keganasan rumah tangga.
“Program Advokasi Kesejahteraan untuk Wanita@Keganasan Rumah Tangga atau Aku Wanita@KRT ini memberi manfaat kepada masyarakat khususnya dari negeri Terengganu dalam meningkatkan kesedaran tentang isu keganasan rumah tangga.
“Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat akan terus berusaha untuk melaksanakan pelbagai inisiatif bagi menangani isu ini dan seterusnya memartabatkan agenda pemerkasaan wanita negara.
“KPWKM sentiasa komited dalam memperkukuhkan dasar, undang-undang serta mekanisma dalam menyampaikan maklumat dan sokongan kepada komuniti terutamanya mangsa keganasan rumah tangga,” katanya ketika merasmikan Program Advokasi Kesejahteraan untuk Wanita@Keganasan Rumah Tangga atau Aku Wanita@KRT yang dihadiri 500 orang peserta.
Justeru kata Ketua Wanita UMNO Malaysia, usaha untuk meningkatkan kesedaran, memberi keyakinan dan keberanian kepada wanita untuk bersuara, serta menyediakan ruang sokongan dan pemulihan yang selamat merupakan komponen penting dalam menangani isu ini secara menyeluruh.
“Program Advokasi Kesejahteraan untuk Wanita@Keganasan Rumah Tangga atau Aku Wanita@KRT dirangka sebagai platform strategik bagi mendekati masyarakat dalam menangani masalah KRT.
“Melalui program ini, isu-isu berkaitan keganasan rumah tangga akan dibincangkan secara mendalam bersama pakar dalam bidang tersebut dan juga pemandiri iaitu mangsa yang telah berjaya keluar dari masalah KRT untuk mereka berkongsi kisah kebangkitan hidup mereka.
“Selain itu, sesi intervensi psikologi yang dinamakan ‘K-Chat’ juga telah diperkenalkan menerusi program ini. Sesi ini merupakan intervensi berkumpulan antara pemandiri bersama kaunselor dan fasilitator terlatih untuk membantu peserta memahami dan menangani isu yang melanda diri akibat keganasan,” katanya lagi.
Mengulas lanjut Noraini yang juga Ahli Parlimen Parit Sulong menjelaskan, JPW telah melaksanakan forum keganasan rumahtangga bertajuk ‘Ayuh Berani Lapor’ di dewan masyarakat Papar, Sabah, yang dihadiri seramai 700 orang peserta dan seramai 12 orang fasilitator telah menghadiri sesi K-Chat.
“KPWKM menerusi JPW turut giat menjalankan pelbagai program advokasi seperti program meningkatkan daya tahan dan psikologi wanita (matahari) dan program literasi perundangan dan hak wanita (iris) serta skuad waja,” ujarnya.
Ujarnya lagi, marilah bersama-sama mendokong usaha menangani keganasan rumah tangga dan melindungi wanita daripada segala bentuk keganasan dan penganiayaan. – UMNO Online