Komitmen Holistik KKDW Bukti Rakyat Luar Bandar Sabah Diutamakan – Jamal Nerubi
PAPAR, 16 Julai – Ketua UMNO Bahagian Papar, Datuk Jamal Nerubi memuji komitmen serius kerajaan Persekutuan khususnya melalui Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) dan Yayasan Pelajaran MARA (YPM) dalam memperkasa ekonomi rakyat luar bandar, terutamanya golongan usahawan mikro dan kecil di Sabah.
Beliau berkata, usaha proaktif ini amat bertepatan dengan keperluan semasa rakyat, khususnya dalam era pasca pandemik yang memerlukan pendekatan luar kotak bagi melonjakkan taraf ekonomi isi rumah di kawasan luar bandar.
“Saya menyambut baik pelaksanaan program ini yang bukan sahaja membantu golongan usahawan mikro dan kecil dari segi latihan dan kemahiran, malah memberikan mereka strategi yang praktikal untuk menjana pendapatan secara mampan,” katanya selepas merasmikan Program Peningkatan Pendapatan (PPP) Usahawan Pelbagai Negeri Sabah 2025 baru-baru ini.
Menurut Jamal, pendekatan holistik yang diterapkan dalam program ini membuktikan bahawa kerajaan bukan sekadar memberi bantuan bersifat jangka pendek, tetapi menyediakan platform kukuh untuk rakyat berdikari dan membina masa depan ekonomi yang lebih stabil.
“Usaha sebegini harus diteruskan dan diperluaskan ke lebih banyak kawasan luar bandar agar lebih ramai penduduk mendapat manfaat. Di Sabah sahaja, potensi keusahawanan luar bandar amat besar jika diberi dorongan dan bimbingan sewajarnya,” tambah beliau.
Maklumnya, merupakan inisiatif di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) dan diuruskan oleh Yayasan Pelajaran MARA (YPM) dengan kerjasama Shatir Maferifa Sdn. Bhd. sebagai rakan pelaksana.program tersebut dilaksanakan dengan kerjasama.
“Seramai 30 orang peserta dari kawasan Kota Kinabalu, Putatan, Tuaran, dan Kinarut telah terlibat dalam program ini, yang memberi penekanan kepada pembangunan keusahawanan, peningkatan kemahiran, serta strategi penjanaan pendapatan secara mampan.
“Antara fokus utama program adalah pembangunan sahsiah dan minda usahawan, latihan peningkatan kemahiran dalam bidang perniagaan, serta bimbingan khusus mengenai strategi pemasaran dan pengurusan kewangan.”
Jamal turut menggesa agar lebih banyak agensi kerajaan dan swasta tampil bekerjasama dalam inisiatif sebegini sebagai satu usaha kolektif membina ekosistem keusahawanan yang inklusif dan mampan.
“Saya juga menggesa agar program PPP ini diperluaskan lagi ke seluruh negeri Sabah supaya tiada mana-mana usahawan yang terpinggir daripada menerima manfaat dan sokongan sewajarnya,” katanya.
“Program ini sekali gus membuktikan kesungguhan kerajaan dalam memastikan tiada golongan masyarakat walau di mana pun mereka berada yang tertinggal daripada arus pembangunan dan kemajuan ekonomi negara,” katanya lagi. – UMNO Online